Mekanik maut tercampak motosikal langgar pokok
ALOR GAJAH - Seorang mekanik maut tercampak atas jalan selepas terlanggar sebatang pokok di Jalan Bukit Antu, Rembia di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian jam 5 pagi, mangsa Kamarul Zaini Puteh, 44, yang maut di tempat kejadian dalam perjalanan dari arah Pekan Rembia menghala ke Ayer Hitam, Lendu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR gagal mengelak lalu melanggar sebatang pokok yang tumbang di atas jalan.
"Akibat pelanggaran itu mangsa tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat sebelum mayatnya dituntut waris keluarga," katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, selepas kemalangan itu sebuah motosikal jenis Yamaha125ZR yang ditunggang seorang pemandu lori bersama pemboncengnya dari arah sama, turut gagal mengelak lalu melanggar pokok tersebut dan terjatuh.
"Bagaimanapun mangsa masing-masing berusia 23 dan 26 tahun mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan lanjut," katanya lagi.
Ujarnya, kenderaan terlibat ditahan untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!