Penunggang basikal OKU maut dilanggar lari

Lokasi kejadian yang mengakibatkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut.
Lokasi kejadian yang mengakibatkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut.
A
A
A

TAMPIN - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut selepas basikal yang ditunggangnya dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti dalam kejadian di Jalan Gemas-Tampin pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, dalam kejadian jam 7.15 pagi mangsa yang berusia 44 tahun dalam perjalanan dari arah Gemas ke Kampung Air Gelugor melalui jalan berkenaan secara melawan arus.

"Dipercayai sebuah kenderaan tidak dapat dikenal pasti tiba-tiba terbabas ke bahu kiri jalan dari arah Tampin dan melanggar penunggang basikal itu dari bahagian hadapan menyebabkannya tercampak ke bahu jalan.

Basikal mangsa yang rosak akibat kejadian. - Foto PDRM
Basikal mangsa yang rosak akibat kejadian. - Foto PDRM

"Bagaimanapun kenderaan tersebut tidak berhenti selepas perlanggaran. Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, mayat lelaki berkenaan seterusnya di bawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk mengetahui punca kematian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan terbabit diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian 06-4412502 atau 06-4431999 bagi membantu siasatan.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!