Bekas jurulatih Harimau Malaya Sathianathan meninggal dunia
BEKAS jurulatih bola sepak negara, B. Sathianathan meninggal dunia pada usia 65 tahun akibat kanser kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.
Presiden Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan moga tabah berdepan ujian itu.
"Yaked turut melahirkan rasa sedih di atas kehilangan mendiang. Satu demi satu bekas atlet kita meninggal dunia.
"Baru-baru ini legenda olahraga, Hanafiah Nasir meninggal dunia dan sebelum itu beberapa bulan lepas kita kehilangan bekas pemain sepak takraw, Adnan Saidin," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Dalam pada itu, Pegawai Media Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Christopher Raj menciap ucapan takziah di laman sosialnya.
"Berehatlah dengan aman, Anna. Anda telah berjuang dengan baik," ciap beliau mengenai pemergian Sathia di Twitter.
Beliau yang dihubungi mengesahkan pemergian bekas pemain bola sepak itu.
Pada musim lalu jurulatih berpengalaman itu terpaksa berehat seketika daripada bola sepak bagi menjalani rawatan kesihatan selepas dinasihatkan oleh pegawai perubatan.
Mendiang yang juga bekas pengendali Sarawak United sering menjadi rujukan pengamal media mengulas isu arena bola sepak tanah air.
Meneliti profil, Sathianathan mula berjinak dalam dunia kejurulatihan pada 1992 apabila membimbing Negeri Sembilan dalam saingan Piala Emas.
Seterusnya mendiang menyertai FAM apabila menjadi penolong jurulatih skuad Olimpik negara dari 1997-1999 dan 2002-2004.
Kemuncak kariernya sudah pasti ketika dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Malaya 2007-2009.
Mendiang sebelum itu turut membimbing skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dan berjaya menghadiahkan kejuaraan antarabangsa apabila menjuarai Pestabola Merdeka pada 2007.
Dalam saingan Liga Malaysia, bekas pemain negara itu turut cemerlang membawa beberapa pasukan termasuk Kelantan dengan menjuarai Piala Malaysia pada 2010, Angkatan Tentera Malaysia (juara Liga Perdana 2012), Felda United (juara Liga Perdana 2018).
Sathianathan turut dinobatkan jurulatih terbaik sebanyak tiga kali (2010, 2012, 2017) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!