Victoria, Australia tarik diri jadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026

Negeri Victoria di Australia menarik diri sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026 berikutan kos acara itu melebihi anggaran kira-kira AUD$5 bilion (AS$3.4 bilion). Foto fail AFP
Negeri Victoria di Australia menarik diri sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026 berikutan kos acara itu melebihi anggaran kira-kira AUD$5 bilion (AS$3.4 bilion). Foto fail AFP
A
A
A

NEGERI Victoria di Australia menarik diri sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026 berikutan kos acara itu melebihi anggaran kira-kira AUD$5 bilion (AS$3.4 bilion), lapor Agensi Berita Jerman ( dpa).

Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews memberitahu media di Melbourne bahawa beliau tidak bersedia untuk membelanjakan sehingga AUD$7 bilion untuk 'acara sukan 12 hari'.

"Tahun lalu apabila pihak berkuasa Sukan Komanwel mendekati kami dan memerlukan seseorang sebagai penganjur Sukan Komanwel 2026, sebagai sebuah negeri kami gembira dapat membantu, tetapi sudah tentu tidak pada sebarang harga.

"Saya telah membuat banyak keputusan yang sukar dalam tugas ini, ini bukan satu daripadanya. Ia agak jelas, kami tidak akan membelanjakan enam hingga tujuh bilion untuk acara sukan selama 12 hari. Kami tidak hanya membuat keputusan popular, kami melakukan apa yang betul dan ia mungkin menjadi salah," katanya.

Belanjawan asal untuk temasya itu dianggarkan sekitar AUD$2.6 bilion tetapi melonjak hampir tiga kali ganda.

Andrews berkata pihaknya telah mengadakan "perbincangan mesra" dengan pihak berkuasa Komanwel di London dan akan meneruskan perbincangan dengan mereka pada pagi Selasa.

"Adalah tidak wajar dan bertentangan dengan kepentingan pembayar cukai untuk saya membuat spekulasi dan menjalankan rundingan dengan pihak lain pada sidang media di sini hari ini. Sementara itu, kami akan membiarkan pasukan kami yang di London menangani isu-isu ini," katanya.

Andrews berkata, anggaran itu "jelas di bawah kos sebenar".

Kerajaan negeri Victoria sebaliknya akan menggunakan wang yang dianggarkan untuk menambah baik kompleks sukan dan perumahan di wilayah Victoria.

Sukan Komanwel 2026 telah ditetapkan untuk diadakan di wilayah Victoria di seluruh bandar seperti Geelong, Bendigo, Ballarat, Gippsland dan Shepparton. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!