KKDW pertimbang semak semula skim gaji pendidik di IPMa - TPM
KUALA LUMPUR - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sedang menimbangkan rancangan untuk menyemak semula skim gaji golongan pendidik di Insititusi Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (IPMa).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, biarpun ketika ini skim gaji pendidik di IPMa adalah mengikut kaedah sama seperti Kementerian Pendidikan, namun terdapat sedikit ruang perbezaan yang menyebabkan ada segelintir pihak terpinggir.
Beliau yang juga Menteri KKDW berkata, telah memberi tanggungjawab kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk memperincikan perkara berkenaan.
"Pengerusi MARA akan bantu saya untuk perkara ini, selagi saya di sini, kita akan perjuangkan nasib saudara-saudari (golongan pendidik IPMa).
"Arahan mengenai ini telah dikeluarkan, cuma mesyuarat belum kita adakan lagi, mungkin Pengerusi (Asyraf Wajdi) sibuk dengan hal-hal lain, jadi Insya-ALLAH biarlah selesai selepas 12 Ogos ini (Pilihan Raya Negeri), kemudian saya akan lakukan tindakan susulan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media selepas hadir menyempurnakan Hari Anugerah Pendidik MARA 2023 di sebuah hotel sini, hari ini.
Turut hadir Asyraf Wajdi dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!