Luqman wakili Muda tanding DUN Bandar di Terengganu
KUALA TERENGGANU - Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menampilkan Pengarah Pilihanraya merangkap Ketua Penerangan parti itu untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu.
Luqman Long berkata, penampilan sulung beliau sebagai calon di kawasan itu memberikan isyarat bahawa pengundi negeri tersebut tidak akan taksub dengan mana-mana parti politik.
Menurutnya, walaupun tampil sebagai calon 'under dog' dalam PRN kali ini, beliau tetap optimis mampu mendekati pengundi bagi membawa suara rakyat kepada pucuk pimpinan negara.
"Dalam rekod pilihanraya di Terengganu selama ini, hanya Pas dan UMNO sahaja yang mendominasi dan silih berganti.
"Bagaimanapun, saya percaya semua parti dan calon ada peluang untuk bertanding dalam PRN kali ini dan tiada mana-mana parti yang boleh memandang rendah kepada kemampuan rakyat Terengganu untuk memilih calon yang betul-betul berkhidmat untuk rakyat.
"Saya percaya, kalau calon dan parti mengangkat isu dan suara rakyat Terengganu, pengundi akan dengar dan pilih mereka. Sasaran saya adalah untuk mendengar suara mereka dan membentuk satu tawaran yang terbaik untuk DUN Bandar," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Luqman yang merupakan graduan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, beliau yakin penampilan pertamanya dalam PRN di Terengganu akan membawa perubahan dalam arena politik di negeri itu.
"Saya akan memanfaatkan semua pengalamannya yang ada sepanjang mengasaskan Muda untuk memastikan kemenangan sulung di Terengganu pada PRN kali ini.
"Kempen kita akan meliputi semua golongan tidak hanya terbatas kepada pengundi muda sahaja. Kaedah raih undi tradisional dan moden akan digabungkan untuk tujuan itu.
"Paling penting aspirasi anak muda akan dikongsikan dan disuarakan melalui media sosial saya seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube atau Twitter untuk memudahkan mereka faham dan terus menyokong Muda sepanjang kempen PRN ini," katanya.
Beliau memberitahu, pengalaman mengetuai kempen untuk Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sehingga berjaya memenangi kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu akan dijadikan asas untuk menawan kerusi DUN Bandar.
"Terengganu mempunyai banyak potensi, aset dan khazanah yang kaya dengan sumber asli serta lautan, namun Terengganu masih menjadi negeri yang mundur pembangunan dan masa hadapan.
"Jika dibangunkan dengan pimpinan yang baik, strategik, jujur dan amanah, Terengganu akan menjadi contoh terbaik untuk tadbir urus yang cemerlang sekali gus memberi masa depan gemilang untuk rakyatnya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!