Jangan amal politik jatuhkan peribadi lawan

Aidi Amin (gambar kecil) berkata, adab dan tertib ketika berucap di pentas politik perlu dijaga agar ia tidak cetuskan permusuhan.
Aidi Amin (gambar kecil) berkata, adab dan tertib ketika berucap di pentas politik perlu dijaga agar ia tidak cetuskan permusuhan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin politik dinasihat agar tidak terlalu ghairah mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan dengan niat untuk menjatuhkan air muka individu lain meskipun berbeza pegangan politik.

Pengerusi Pertubuhan Jaringan Insan Madani, Aidi Amin Yazid berkata, adab dan tertib ketika berucap di pentas politik perlu dijaga agar ia tidak berterusan mencetuskan permusuhan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Menurutnya, keghairahan berucap sehingga menyebabkan wujud unsur kecaman dan sindiran melampau tidak wajar dijadikan amalan kerana kesan negatif yang dibawanya cukup besar.

“Jangan amalkan politik yang menjatuhkan peribadi lawan, berpeganglah pada asas Rukun Negara kerana pemimpin politik sepatutnya menunjukKan contoh yang baik kepada masyarakat bukannya mengajak mereka menyemai budaya kebencian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelas Aidi, sikap keterlaluan sesetengah pemimpin ketika berhujah boleh menjadi pencetus kepada permusuhan dalam kalangan penyokong.

“Penyokong boleh bertindak di luar batas jika pemimpin terus menunjukkan sikap angkuh, suka mengata dan mengeji dengan menggunakan bahasa tidak sepatutnya pada ceramah umum.

“Ini akan mewujudkan situasi tegang walhal perbezaan politik seharus diraikan untuk kebaikan masyarakat sama ada yang tua, muda, miskin atau kaya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pemimpin yang baik adalah pemimpin yang sentiasa profesional dalam menjalankan tugasnya meskipun di saat menghadapi situasi yang tegang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!