Lelaki didakwa tipu jual beli baju kurung dalam talian

Mohd Sopri (dua dari kiri) ketika hadir di Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa.
Mohd Sopri (dua dari kiri) ketika hadir di Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret berasingan di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan menipu urusan jual beli baju kurung secara dalam talian antara Februari 2022 sehingga Mac lalu.

Tertuduh, Mohd Sopri Togil, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Sakinah Rusli dan Yusna Khadijah Md Yusof selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah memperdaya tiga wanita berusia antara 39 hingga 48 tahun dengan mendorong mereka membuat pindahan wang berjumlah keseluruhan RM659 ke dalam akaun bank milik tertuduh bertujuan sebagai pembayaran pembelian baju kurung.

Kesalahan itu dilakukan pada Februari 2022 hingga 27 Mac 2023.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 bagi kesemua pertuduhan dan sebutan semula kes pada 17 Ogos dan 21 Ogos depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa dan Nik Zaidi Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!