Dua pengarah syarikat ditahan kes tuntutan palsu lebih RM1.2 juta

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pengarah syarikat kerana disyaki terlibat mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berhubung kerja-kerja reka bentuk kotak rokok bernilai lebih RM1.2 juta.

Sumber berkata, kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 40-an tersebut merupakan pengarah di syarikat berbeza ditahan kira-kira jam 6 petang semalam ketika diminta hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang.

Beliau berkata, salah seorang suspek yang ditahan adalah pengarah di sebuah syarikat pembuatan rokok manakala seorang lagi bekerja di sebuah syarikat berasaskan kesihatan.

Susulan penahanan tersebut, Majistret Mohamad Azlan Basri telah membenarkan kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 20 Julai 2023 setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Georgetown, pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim yang mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!