Kaedah pengambilan ubat semasa berpuasa
BAGI mereka yang sakit, puasa bukanlah penghalang untuk meneruskan rawatan.
Pengubahsuaian cara pengambilan ubat-ubatan boleh dilakukan oleh pesakit. Pesakit juga harus peka terhadap tahap kesihatan diri dan perlu bersedia untuk berbuka puasa sekiranya keadaan memerlukan.
Perkara ini penting bagi mengelak sebarang kesan mudarat yang tidak diingini.
Dapatkan nasihat doktor dan ahli farmasi terlebih dahulu sebelum membuat pengubahsuaian dos serta waktu pengambilan ubat-ubatan.
Terdapat segelintir pesakit yang mengubahsuai cara pengambilan ubat-ubatan mereka semasa puasa tanpa merujuk kepada doktor atau ahli farmasi.
Lebih teruk, sesetengah mereka langsung tidak mahu mengambil ubat semasa berpuasa.
Keadaan pesakit yang berhenti mengambil ubat semasa berpuasa amat membimbangkan terutama dalam kalangan pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes dan asma.
Perkara seperti ini boleh memberi komplikasi penyakit dating kepada pesakit.
Berikut adalah panduan umum berkaitan pengambilan ubat-ubatan semasa berpuasa:
Bagi pesakit diabetes yang mengambil suntikan insulin, dos dan waktu insulin disuntik harus diubahsuai mengikut arahan doktor berdasarkan ujian tahap gula dalam darah yang dilakukan sebelum bulan puasa.
Berbincang dengan doktor tentang pengambilan ubat-ubatan dan dos insulin untuk bulan Ramadan kerana ianya dapat mengelakkan paras gula dalam darah daripada menjadi terlalu rendah (hipoglisemia) atau terlalu tinggi (hiperglisemia).
Pesakit diabetes juga perlu mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan menjalani program pendidikan bersama Pegawai Perubatan, Pegawai Dietetik, Pegawai Farmasi dan Jururawat Diabetes untuk memahami cara-cara berpuasa dengan betul ketika bulan Ramadan.
Keadaan HIPOglisemia (paras gula yang rendah dalam darah)
- Mengantuk/ Terlalu lemah
- Amat lapar
- Menggigil/ Menggeletar
- Peluh dingin
- Keliru/ Gangguan emosi/ Resah/ Gelisah
- Pening / Mudah pitam
Keadaan HIPERglisemia (paras gula yang tinggi dalam darah)
- Sangat dahaga
- Kerap membuang air kecil
- Sangat letih
Segera berbuka apabila mengalami tanda-tanda sama ada hipoglisemia, hiperglisemia atau dehidrasi kerana ia boleh memudaratkan anda. Segera berjumpa dengan doktor jika tanda-tanda masih tidak hilang atau keadaan semakin teruk.
Tip Atau Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian Oleh Pesakit.
- Lambatkan waktu bersahur.
- Makan dengan secukupnya, kerana jika makan terlalu awal atau sedikit boleh mengakibatkan masalah hipoglisemia.
- Percepatkan berbuka puasa. Berbuka dengan air dan makan 1-2 biji kurma untuk mendapatkan tenaga dengan segera.
- Digalakkan mengambil hidangan utama selepas solat maghrib. Jangan makan berlebihan ketika berbuka.
- Pilih makanan yang kurang kandungan gula, lemak dan garam.
- Mematuhi jadual pengambilan ubat-ubatan dan waktu suntikan insulin yang disyorkan doktor.
Mengenali tanda-tanda hiperglisemia, hipoglisemia dan dehidrasi (kekurangan cairan badan).
Segera berbuka jika terdapat tanda-tanda yang boleh memudaratkan.
Keputusan pesakit untuk berpuasa harus dibincangkan dengan doktor. Pengawasan, pendidikan, penjagaan diri serta pengubahsuaian jadual pemakanan dan ubat-ubatan dapat membantu pesakit mengawal penyakit semasa berpuasa.
Jika panduan dan syarat dapat dipatuhi, ibadah puasa dapat dilaksanakan dengan selamat dan ia tidak menjadi halangan besar bagi pesakit untuk berpuasa.
Maklumat ini hanyalah sebagai panduan umum.
Sumber: Portal MyHealth
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!