SPRM digesa siasat isu kontrak pembekalan kenderaan kerajaan

Steven Tiw (tengah) bersama ADUN dan pimpinan DAP Perak membuat laporan kepada SPRM di Pejabat SPRM Perak, Ipoh pada Selasa.
Steven Tiw (tengah) bersama ADUN dan pimpinan DAP Perak membuat laporan kepada SPRM di Pejabat SPRM Perak, Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - DAP Perak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu penamatan kontrak pembekalan kenderaan kerajaan yang didedahkan Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan.

Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perak, Steven Tiw Tiee Siang berkata, pendedahan tersebut menjelaskan seolah-olah berlaku ketidakpatuhan penamatan kontrak sebelum kontrak baharu dikeluarkan.

Menurutnya, sebarang bentuk campur tangan atau unsur rasuah oleh mana-mana pihak wajar disiasat dan diheret ke mahkamah bagi mendapatkan pengadilan.

"Kami menggesa pihak SPRM agar membuka siasatan terhadap isu ini kerana mempunyai elemen rasuah yang amat kuat kerana kontrak tersebut ditamatkan dan kontrak diberi kepada syarikat yang lebih mahal daripada yang asal sebanyak RM700 juta.

"Perkara ini tidak boleh dianggap remeh kerana apabila negara sedang mengalami ketidakstabilan ekonomi, ada pihak yang begitu berani 'sakau' kewangan negara," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan kepada SPRM di Pejabat SPRM Perak, di sini pada Selasa.

Hadir sama membuat laporan itu beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP Perak serta pimpinan DAP negeri.

Steven Tiw yang juga ADUN Tronoh berkata, jumlah RM700 juta itu satu amaun yang besar dan amat wajar siasatan dan tindakan lanjut dibuat terhadap perkara terbabit.

Pada Isnin, Syarikat usaha sama (JV) Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza telah memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan (MoF) kerana menamatkan surat hasrat (LOI) yang ditawarkan kepada JV itu.

Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan berkata, LOI yang berkaitan dengan kontrak untuk membekalkan kenderaan kerajaan, ditamatkan tiga bulan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mac 2020.

Dakwa Vincent, perkhidmatan JV ditamatkan dan diberikan kepada Spanco Sdn Bhd dengan perbelanjaan RM700 juta lebih tinggi bertanding bidaan JV.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Kewangan menyerahkan sepenuhnya kepada Jabatan Peguam Negara berhubung saman yang difailkan syarikat JV tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!