Kelangsungan golongan petani, nelayan jadi keutamaan kerajaan - PM
KUALA LUMPUR - Menjamin kelangsungan golongan petani dan nelayan menjadi keutamaan kerajaan selain menggerakkan beberapa usaha yang berdampak besar dan memberi manfaat yang sebaiknya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut sepatutnya dibicarakan oleh semua pihak ketika masyarakat dipaksa dengan politik kebencian yang tidak berkesudahan.
"Adalah menjadi komitmen kerajaan bahawa golongan petani, peladang dan nelayan dibela sebaiknya,” katanya menerusi catatan di Facebook pada Selasa.
Menurut Perdana Menteri, beliau telah menyenaraikan beberapa inisiatif penting dalam memungkinkan pembelaan golongan petani dan nelayan antaranya menyalurkan bantuan subsidi dan insentif untuk industri padi dan beras berjumlah RM1.62 bilion.
"...menyediakan sumbangan tunai sebanyak RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan atau semusim kepada 240,000 pesawah dengan peruntukan sebanyak RM228 juta, meneruskan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) Laut dengan kadar bayaran RM300 sebulan dan lain-lain,” katanya.
Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan telah memperuntukkan sebanyak RM5.39 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi tahun ini iaitu kenaikan sebanyak 12.06 peratus berbanding RM4.81 bilion pada tahun 2022. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!