Maal Hijrah: Tanam sifat mahabbah, silaturrahim - Ahmad
KOTA BHARU - Rakyat Kelantan diseru agar memanfaatkan sambutan Maal Hijrah dengan menanamkan sifat mahabbah, silaturrahim dan semangat bantu-membantu sesama insan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, setiap lapisan masyarakat mestilah memainkan peranan masing-masing agar perpaduan dan keharmonian negeri Kelantan secara khusus dan negara secara umum dapat dikekalkan serta dipertahankan berpandukan dasar Islam.
“Sempena tahun baharu 1445 Hijrah ini, marilah kita tingkatkan usaha untuk lebih mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dengan penuh keikhlasan dan bermuhasabah, mudah-mudahan kita menjadi umat yang dikasihi, dirahmati serta diredhai oleh ALLAH.
“Semoga ALLAH sentiasa melimpahi kebaikan, keberkatan dan kesejahteraan kepada negeri Kelantan di bawah kepimpinan Membangun Bersama Islam,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hijratul Rasul SAW 1445 Hijrah di Masjid Sultan Ismail Petra di Kubang Kerian, di sini, pada Selasa.
Sebelum itu, Ahmad meluangkan masa menunaikan solat Maghrib dan Isyak bersama lebih 1,000 jemaah.
Turut diadakan penyampaian Anugerah Tokoh Hijratul Rasul 1445H peringkat negeri Kelantan kepada Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Prof Emeritus Dr Ab Aziz Mohd Zin.
Menurut Ahmad, peristiwa hijrah mengangkat syiar Islam dalam memayungi tamadun itu dengan bimbingan wahyu Ilahi.
Katanya, umat Islam mengimbau detik kemenangan itu sebagai suatu ibrah dan pencetus kepada semangat untuk terus memartabatkan dasar Islam dalam setiap aspek kehidupan sama ada dalam konteks negara, masyarakat atau keluarga.
“Pada tahap pertama perjuangan di Kota Makkah, baginda terlebih dahulu membina kekuatan akidah dan takwa melalui para sahabat yang bekorban jiwa, raga, harta dan keluarga. Mereka ialah generasi model teladan dan rabbani yang perlu menjadi contoh sepanjang zaman.
“Rasululllah SAW menjadikan masjid sebagai pusat kemajuan ilmu penduduk Madinah dan membina kekuatan ukhuwah menerusi persaudaraan Muhajirin dan Ansar seterusnya Piagam Madinah yang dimenterai bagi menjamin keadilan sosial, keamanan serta kesejahteran seluruh penduduk Madinah,” ujarnya.
Menurut beliau, negeri Kelantan dipimpin 33 tahun di bawah Dasar Membangun Bersama Islam tersebut terbukti menjadi teras kepada perpaduan ummah, kestabilan politik dan kesejahteraan kepada rakyat.
“Rakyat Kelantan berjaya menangkis pandangan sesetengah pihak yang cuba memberikan gambaran buruk kepada keharmonian negeri.
“Hakikatnya masyarakat pelbagai kaum iaitu Cina, India, Siam dan lain-lain hidup penuh harmoni dan sejahtera,” kata Ahmad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!