PPRPM saran tubuh tribunal khas untuk p-hailing
SHAH ALAM - Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) menyarankan kerajaan supaya menubuhkan tribunal khas untuk golongan pekerja sektor p-hailing di negara ini.
Penasihatnya, Bryan Ng Yih Miin berkata, cadangan itu bertujuan bagi membantu pekerja p-hailing daripada segi mendapatkan khidmat guaman di peringkat mahkamah.
“Tadi ada menyebut, kalau ‘rider’ (pekerja p-hailing) ada pertikaian, boleh bawa isu itu di mahkamah. Saya juga sebagai peguam, jadi saya nak kata perkara itu tidak realistik kerana di Malaysia, untuk mereka pergi ke mahkamah ia akan mengambil masa dan kos yang sangat tinggi.
“Apabila mereka tidak mendapat keadilan melalui guaman di mahkamah, atau Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) secara percuma sebab bukan semua orang boleh dapat, maksudnya mereka adalah yang tertindas dan ramai kita nampak terdapat syarikat p-hailing ini terpaksa lepas tangan sahaja.
“Jadi bagi saya, itu adalah lagi satu isu yang mana perlu ada tribunal khas untuk pekerja p-hailing atau e-hailing,” katanya menerusi Wacana Sinar Harian edisi ke-406 bertajuk ‘P-Hailing: Ke Mana Hala Tuju?’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panel ialah Bekas Ketua Bahagian Polisi dan Perancangan, Kumpulan Operasi, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Wan Agyl Wan Hassan dan Pengerusi PPRPM, Ikmal Shahrin Zulkipli manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Dalam pada itu, ujar Bryan, golongan pekerja p-hailing perlu diberikan kesedaran atau latihan bagi menambahbaik perkhidmatan mereka kepada pelanggan.
Menurutnya, kaedah memberi ganjaran kepada pekerja p-hailing yang mendapat respon positif daripada pelanggan dilihat dapat memberi motivasi kepada mereka sekaligus menjadi pembakar semangat untuk mereka bekerja dengan lebih baik.
“Kalau mereka boleh beri servis yang baik, rekod baik, mereka boleh mendapatkan ganjaran.
“Itu adalah salah satu cara yang kita boleh mempromosikan kelakuan yang baik. Daripada kita mendenda mereka, kita kena lihat bagaimana kita nak beri kesedaran dan ganjaran supaya orang boleh menjadi lebih baik.
“Saya rasa pendekatan itu lebih bersifat ke arah jangka masa panjang,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!