Perhatin harap lebih ramai hulur sumbangan dana
SHAH ALAM - Dana sebanyak RM820,000 berjaya dikumpulkan oleh Pertubuhan Anak Yatim/ Miskin Bandaraya Shah Alam, Selangor (Perhatin) dalam masa dua bulan selepas tabung itu dibuka Mei lalu.
Bagaimanapun, menurut Yang Dipertua Perhatin, Datuk Salamon Selamat, pihak pertubuhan masih mengharapkan sumbangan orang ramai bagi merealisasikan projek pembinaan Kompleks Warisan.
“Untuk melengkapkan kompleks anak yatim ini, jawatankuasa Perhatin sedang berusaha untuk mendapatkan sumbangan atau dana daripada orang ramai.
“Kami juga sedang merangka format pengiklanan untuk disiarkan melalui akhbar dan media dengan harapan ada peningkatan dana berbanding jumlah berjaya dikumpulkan setakat ini,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Sinar Harian pada Jun lalu melaporkan pembinaan kompleks anak yatim tersebut bakal menempatkan seramai 250 anak yatim dalam satu-satu masa dengan pecahan pelajar lelaki seramai 150 orang dan pelajar perempuan seramai 100 orang.
Katanya, anak-anak yatim yang ditempatkan di situ akan disediakan modul pengajian tahfiz, akademik dan kemahiran (TVET) yang boleh digunakan selepas tamat belajar.
Dalam pada itu, Salamon turut mengulas mengenai status tanah bagi pembinaan berkenaan yang masih belum dirizab secara rasmi oleh kerajaan negeri.
“Tanah pun belum diwartakan, mungkin selepas pilihan raya negeri (PRN). Setelah kerajaan diputuskan baru boleh dapatkan tandatangan untuk urusan rizab tanah.
“Jadi bila tanah telah dirizabkan secara rasmi, ia memudahkan kami untuk berjumpa dengan mana-mana agensi untuk mendapatkan sumbangan,” ujarnya.
Tambah beliau, pihak Perhatin juga sedang menunggu outright grant dari pada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebagai peruntukan ke dalam tabung tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!