Rumah pusaka perlu dana RM80,000 lagi
KUALA SELANGOR - Lagi RM8,000 dana diperlukan Persatuan Kebajikan Warisan Melayu Selangor untuk menyiapkan kerja baik pulih sebuah rumah pusaka di Kampung Asahan.
Pengerusinya, Rosli Idris berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu membaik pulih rumah yang hampir roboh itu dengan kutipan dana awal berjumlah lebih RM3,000.
Menurutnya, ahli persatuan sepakat untuk bergotong-royong meruntuhkan bahagian atas dan membaik pulih bahagian bawah rumah pusaka itu supaya lebih selesa dan selamat.
“Kerja gotong-royong dimulakan pada 28 April lalu bagaimanapun modal yang diperlukan belum mencukupi dan masih memerlukan RM8,000 untuk siap sepenuhnya.
“Kami memerlukan sumbangan orang ramai supaya dapat menyalurkan dana ke akaun Ambank 8881028697191 atas nama Persatuan Kebajikan Warisan Melayu Selangor,” katanya kepada pemberita, di sini.
Rosli berkata, rumah Muhammad Rosli yang menghidap penyakit kronik dipilih untuk program itu kerana keadaan keluarganya yang kurang berkemampuan.
“Isterinya tidak bekerja dan difahamkan mereka tiada dana untuk membaik pulih sendiri rumah pusaka itu.
“Hasil siasatan kami juga keluarga ini wajar dibantu memandangkan rumah bahagian atas terlalu uzur dan hampir roboh,” katanya.
Beliau berkata, persatuan aktif menjalankan aktiviti baik pulih rumah yang uzur melibatkan golongan memerlukan.
“Persatuan juga ada buat program sumbangan kepada orang susah, anak yatim, ibu tunggal dan warga emas bagi meringankan beban mereka.
“Kalau boleh misi baik pulih rumah Muhammad ini dijayakan supaya keluarga ini dapat tinggal di rumah yang selesa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!