Kerjasama jentera, Live TikTok pengaruhi sokongan pengundi
BERMULA minggu lalu menyaksikan sudah ada parti politik mengumumkan calon bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan 12 Ogos ini.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada 13 Julai mengumumkan empat calon muka baharu termasuk Setiausaha Agungnya, Amir Hariri Abd Hadi yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang, Selangor.
Pada Isnin pula, Muda mengumumkan enam lagi calon termasuk Ketua Penerangan, Luqman Long yang akan bertanding di DUN Bandar, Terengganu.
Minggu ini dijangka beberapa parti bakal mengumumkan calon bermula dengan Barisan Nasional (BN) pada 21 Julai, Perikatan Nasional (PN) Selangor pada 22 Julai dan BN serta Pakatan Harapan (PH) Kelantan, 23 Julai.
PRN enam negeri kali ini dipengaruhi pelbagai faktor yang mampu mengubah corak dan pola pengundian. Antara faktor itu adalah sejauh mana kerjasama antara parti politik membuahkan hasil terutama bagi gabungan PH dan BN yang buat pertama kali bergabung jentera dalam skala besar.
PH-BN harus mengatur strategi yang ampuh terutama mengumpul kekuatan akar umbi parti masing-masing bagi memenangi PRN.
Bagi PN pula, walaupun pernah bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun keupayaan jentera mereka dijangka diuji sekali lagi di Selangor dan Pulau Pinang.
Justeru faktor media sosial dilihat mampu mempengaruhi tahap sokongan terutama bagi platform orang muda seperti TikTok. Disebabkan orang ramai mudah mendapat maklumat di TikTok berbanding media sosial lain, maka tidak hairanlah setiap malam TikTok sentiasa aktif dengan video siaran langsung berkaitan politik.
Live TikTok dilihat lebih rancak berbanding pada PRU15 lalu dengan menyaksikan pemimpin parti politik dan cyber troopers sentiasa menjadikan medium tersebut untuk memberi penerangan, selain berdebat.
Faktor penggunaan TikTok penting dalam mempengaruhi sokongan pengundi kerana media sosial berkonsepkan video pendek mampu memberi penerangan ringkas yang mudah difahami.
Namun, diharap medium TikTok tidak disalah guna untuk melemparkan fitnah tanpa fakta sahih dan tidak menyentuh isu 3R iaitu berkaitan kaum, agama serta raja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!