Sediakan payung sebelum hujan
KITA semua mungkin pernah merasai pengalaman didekati ejen takaful yang menawarkan polisi takaful untuk digunakan ketika sakit dan mungkin juga kebanyakan daripada kita akan cuba mengelak kerana berasakan ia bukan satu keperluan dalam hidup.
Sejauh mana tanggapan kita itu benar atau sebenarnya ia adalah talian hayat ketika kita memerlukan wang untuk rawatan pada masa hadapan.
Takaful bermaksud pelan perlindungan patuh syariah iaitu sijil atau polisi yang diperoleh daripada syarikat takaful dengan Akad Menyumbang (menderma atau tabarru').
Menyumbang dalam Tabung Tabarru' akan membantu peserta-peserta menyumbang dalam tabung yang sama. Sekiranya salah seorang peserta dilanda musibah seperti kematian, hilang upaya atau penyakit kritikal dan lain-lain, sumbangan tersebut akan diberikan kepadanya mengikut kadar telah dipersetujui.
Secara ringkasnya, ia adalah bagi mengurangkan beban kewangan sekiranya berdepan musibah seperti kemalangan, banjir, kebakaran, penyakit kritikal dan kematian.
Penulis secara peribadi bersetuju bahawa takaful adalah penting kerana dapat membantu meringankan beban kos rawatan ketika sakit. Ia berdasarkan pengalaman penulis sendiri ketika diuji dengan sakit apabila dimasukkan ke wad empat kali pada tahun lalu.
Kos rawatan setiap kali dirawat di hospital melebihi RM3,000 tetapi disebabkan penulis mencarum dengan takaful melalui kad perubatan, semua kos ditanggung oleh takaful. Penulis hanya perlu membayar duit pendaftaran dan beberapa bayaran lain yang tidak melebihi RM60.
Benar, kita mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, namun kesesakan yang berlaku di hospital ketika ini adalah salah satu faktor rawatan kadangkala lewat diberikan.
Jadi apabila mencarum dengan takaful, kita mempunyai peluang untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan lebih cepat dan selesa. Penulis faham ada segelintir tidak percaya kerana mendengar ‘cakap-cakap’ orang sekeliling yang mempunyai pengalaman tidak ‘menyeronokkan’.
Sebab itu, penting untuk kita memahami beberapa faktor sebelum mencarum dengan takaful. Jangan mudah membuat kesimpulan sebelum menilai secara keseluruhan tentang caruman tersebut.
Pertama, pastikan mencari ejen yang sah iaitu berdaftar dengan Malaysian Takaful Association (MTA). Ia penting untuk memastikan kita mempunyai ejen berkelayakan dan boleh dipercayai bagi memudahkan urusan tuntutan di kemudian hari.
Lebih mudah sekiranya kita mencari ejen dalam kalangan saudara-mara atau rakan-rakan kerana kita lebih mengetahui latar belakang mereka. Selain itu, boleh juga meminta rakan yang telah mencarum untuk memperkenalkan ejen mereka kepada kita.
Sebelum mencarum, penulis ingin mengingatkan anda semua supaya memahami polisi yang ditawarkan dengan baik termasuk had tahunan. Pencarum mempunyai hak untuk mengetahui manfaat diterima apabila mula mencarum termasuk pampasan sekiranya meninggal dunia atau menghidap sakit kritikal.
Pencarum juga perlu tahu tarikh akhir untuk membayar caruman setiap bulan supaya polisi terus aktif dan tidak luput ketika hendak digunakan. Paling penting, pencarum perlu mengetahui tempoh matang yang ditetapkan untuk membuat tuntutan sesuatu penyakit bagi mengelak tuntutan ditolak.
Ini kerana banyak kes berlaku tuntutan ditolak disebabkan pencarum tidak mengisytiharkan penyakit sedia ada. Sebab itu, kita sering mendengar ayat ‘mencarum takaful ketika sihat’ supaya sebarang tuntutan selepas itu berjalan lancar.
Jika terdapat kemusykilan, jangan malu bertanya kepada ejen terutama melibatkan penyakit-penyakit yang anda hidapi. Ejen yang baik tidak akan lepas tangan dan sedia membantu klien pada bila-bila masa.
Ada sesetengah daripada kita menganggap takaful adalah beban kerana terikat dengan komitmen bulanan tanpa mengetahui bila akan menggunakan manfaatnya.
Namun, percayalah apabila kita diuji dengan sakit atau musibah pada waktu yang tidak dijangkakan, caruman itulah yang dapat membantu melangsaikan kos rawatan.
Kita tidak perlu risau dan runsing memikirkan kos yang mungkin mencecah ribuan ringgit kerana ketika itu fokus kita hanyalah mahu sembuh daripada penyakit atau musibah.
Apa pun, sediakanlah payung sebelum hujan. Apabila seseorang itu tiada perlindungan khas seperti takaful, keadaan itu akan menyebabkan wang simpanan terpaksa dihabiskan, selain memberi kesulitan untuk bertahan pada masa hadapan.
*Roshila Murni Rosli ialah wartawan Sinar Harian Kedah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!