Kerajaan kawal harga barang, tidak mungkin naik - Salahuddin

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyangkal dakwaan mengenai kenaikan harga barang yang kerap dimainkan pihak pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) turut memberi jaminan langkah kerajaan mengawal penuh barangan tidak bersubsidi, tidak memungkinkan kenaikan harga barang.

"Barangan seperti gula dan tepung sememangnya tidak naik (harga)... kerana ia dikawal penuh pihak kerajaan... Apa-apa pun barang pilihan rakyat - itu kita tidak kawal, sebab terpulang kepada rakyat untuk memilih.

"Kerajaan kita memang mendepani isu kos sara hidup rakyat, tetapi kerajaan tidak boleh mengawal kos gaya hidup rakyat. Itu yang saya nak tegaskan, barang-barang yang jadi asas hidup rakyat setakat ini semuanya dikawal penuh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir program ceramah Jelajah Perpaduan Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di Rumah Komuniti Teratak Desa, Gong Tok Nasek di sini, malam Selasa.

Salahuddin berkata, menerusi inisiatif Payung Rahmah yang menyasarkan golongan B40 dan miskin tegar khususnya menerusi Jualan Rahmah, Menu Rahmah dan Pakej Rahmah, ia memberi pilihan kepada rakyat untuk membuat pembelian mengikut kemampuan.

"... semalam diumumkan SARa (Sumbangan Asas Rahmah), rakyat boleh beli barang asas di beberapa pasar raya pilihan dengan harga Rahmah. Jadi, kita telah buat semua ini dan Alhamdulillah golongan sasaran kita ialah B40 dan miskin tegar.

"Bagi mana-mana rakyat ingin memilih barangan mereka, kerajaan serahkan kepada rakyat yang mampu untuk membeli barangan pilihan mereka tetapi barang-barang makanan bersubsidi ini dikawal penuh oleh kerajaan yang ada pada hari ini," katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan lebih 210,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori miskin tegar akan menerima SARa berjumlah RM600 mulai Isnin lepas yang membolehkan mereka membeli barangan keperluan asas tanpa tunai di 600 pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara.

Sementara itu, Salahuddin berkata pembahagian kerusi di antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi mendepani PRN secara prinsipnya telah selesai dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Selain Terengganu, lima lagi negeri yang akan menghadapi PRN 12 Ogos ini ialah Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!