Messi perlukan masa di MLS
DAVID Beckham percaya Lionel Messi memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat walaupun standard permainan berada pada tahap yang berbeza daripada liga di Eropah.
Beckham yang juga pemilik bersama Inter Miami itu menyaksikan Messi mengambil bahagian dalam sesi latihan pertamanya untuk kelab itu pada Rabu selepas menandatangani kontrak dua setengah tahun.
Pemain tengah Sepanyol Sergio Busquets yang juga bekas rakan sepasukan Messi di Barcelona turut berlatih di kompleks kelab itu selepas menandatangani kontrak pada Sabtu.
“Leo masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri tidak kira betapa bagusnya dia. Dia dan Sergio akan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
“Mereka mungkin mengejutkan kami dan kami mungkin boleh memenangi setiap perlawanan, tetapi kami perlu bersabar,” katanya.
Peminat Miami mungkin perlu bersabar untuk melihat kelibat Messi dengan Beckham menjelaskan pemain Argentina itu mungkin tidak akan berada dalam kesebelasan utama ketika perlawanan Piala Liga pada Sabtu menentang Cruz Azul.
“Leo akan memainkan sebahagian daripada permainan tetapi itu bergantung kepada jurulatih (dan) terpulang kepada Leo untuk memutuskan sama ada dia sudah bersedia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!