Maal Hijrah: Jauhi hasad dengki, amalan fitnah - Agong
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu menitahkan rakyat agar menjauhi perasaan hasad dengki dan amalan fitnah memfitnah.
Titah Seri Paduka, rakyat juga hendaklah tidak berfikiran sempit dan negatif kerana sifat dan amalan itu tidak akan mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara.
"Beta ingin mengajak seluruh rakyat bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang lembut dalam berbicara, halus dalam berpesan, harmoni dalam ikatan persaudaraan, jujur dalam pekerjaan, amanah dalam menggalas tugas dan gagah perkasa dalam mencipta kejayaan,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/ 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Rabu.
Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sempena sambutan itu, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan agar semangat dan roh peristiwa Hijrah dijelmakan dalam bentuk kesatuan dan perpaduan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan adat resam demi untuk membangunkan sebuah negara pertiwi.
Titah Seri Paduka, sejarah penyatuan dan kesepaduan kaum Muhajirin dan Ansar yang berlaku 1,400 tahun yang lepas, adalah semangat hijrah yang wajar dijadikan pedoman utama dalam mengurus kepelbagaian dan kerencaman negara.
Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah mengajak rakyat negara ini bersama-sama menghayati tema sambutan Maal Hjrah peringkat kebangsaan pada tahun ini iaitu 'Perpaduan Teras Malaysia Madani'.
"Justeru, beta menghargai usaha kerajaan dalam menggerakkan agenda Malaysia Madani bagi membentuk masyarakat yang menghayati nilai-nilai ihsan mendukung prinsip keadilan dan mengamalkan semangat toleransi.
"Beta turut menghargai pelaksanaan pelan transfomasi hal ehwal agama menuju Malaysia Madani sebagai langkah proaktif untuk menjayakan agenda pembangunan dan pembaharuan ummah," titah Yang di-Pertuan Agong.
Titah baginda, semangat dan roh hijrah dalam memupuk sifat amanah dan berintegriti hendaklah sentiasa tumbuh segar di dalam jiwa setiap rakyat Malaysia
Seri Paduka juga mengajak rakyat untuk bersama mensyukuri nikmat keamanan dan kemakmuran negara yang telah dikecapi.
"Suburkan rasa kasih dan kecintaan kita kepada tanah air ini sebagaimana cintanya Rasulullah SAW kepada tanah kelahiran baginda," titah Seri Paduka.
Hadir sama pada majlis itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Kira-kira 6,000 tetamu hadir pada majlis itu yang mewakili 110 kontinjen daripada agensi kerajaan dan swasta, dengan selebihnya orang awam. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:Maal Hijrah: Sultan Kedah titah jangan bangkit isu gugat perpaduan
Maal Hijrah: Jauhi hasad dengki, amalan fitnah - Agong
Bekas Ketua Pengarah IKIM Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan
Maal Hijrah: Tingkat azam pupuk visi, misi hidup lebih baik
Doa Sultan Nazrin, hijrah bersengketa kepada berdamai
Umat Islam perlu kuasai disiplin ilmu, teroka kejayaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!