Instagram bertukar 'blackout', Judika mohon maaf
KUALA LUMPUR - Penyanyi terkenal Indonesia, Judika menjelaskan dia tidak mempunyai niat untuk menimbulkan kekecohan dengan sebuah hantaran bertukar 'blackout' atau hitam di Instagramnya beberapa minggu lalu.
Pelantun lagu Bukan Rayuan Gombal itu memohon maaf selepas status dimuat naik menimbulkan 'kekecohan' dalam kalangan peminat.
“Ini konsep untuk konsert pertama saya dan gang supaya semua peminat tahu saya ada bikin sesuatu yang istimewa.
“Ini adalah perancangan daripada pihak pengurusan dan penganjur. Saya tidak biasa tapi saya okay.
“Cuma setelah ‘gelap’ itu ada banyak salah sangka yang terjadi sehingga ada yang ingat saya mahu pamit (ucap selamat tinggal) atau segala macam. Padahal niatnya hanya mahu beritahu tentang konsep konsert saja,” jelas Judika.
Judika mengakui dia sempat mematikan telefon bimbitnya selepas menerima pelbagai maklum balas daripada peminat.
“Ramai yang cari, teman-teman, semualah. Saya matikan telefon bimbit kerana tidak sangka menerima respons sedemikian.
“Jujurnya saya tak ada niat mahu prank atau apalah, not my type. Saya juga mahu bilang saya tidak ada niat menghilang. Ini semua konsep saja,” katanya lagi.
Menerusi hantaran dengan latar belakang hitam yang dibuat pada 5 Julai lalu, Judika dilihat menulis: “Terima kasih telah mendukung saya selama ini”.
Hantaran tersebut telah membuat banyak pihak bimbang dan beranggapan penyanyi berusia 45 tahun itu ingin meninggalkan dunia seni atau berada dalam masalah.
Namun ternyata ia hanya konsep yang sengaja diatur oleh pihak pengurusan, DAD Management dan penganjur sempena konsert yang bakal berlangsung di Malaysia pada 21 Oktober 2023 depan, Rockmantic Night Judika & The Gang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!