Doa Sultan Nazrin, hijrah bersengketa kepada berdamai

Sultan Nazrin berkenan menyampaikan titah diraja pada Majlis Sambutan Kemuncak Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Perak hari ini. - Foto Bernama
Sultan Nazrin berkenan menyampaikan titah diraja pada Majlis Sambutan Kemuncak Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Perak hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitipkan doa agar ummah khususnya di negara ini melakukan penghijrahan minda daripada budaya yang memilih untuk bermusuh kepada berkawan.

Doa baginda sempena Sambutan Maal Hijrah 1445 peringkat Negeri Perak pada Rabu itu memohon agar budaya yang cenderung bersengketa berubah kepada berdamai; berdendam kepada bermaaf-maafan; menabur janji kepada mengotakan kata; mencari kelemahan kepada menggabungkan kekuatan.

"Bersempena hari pertama tahun Hijrah 1445 ini, kepada Mu Ya ALLAH, kami yang lemah ini mohon mendapat bimbingan dan petunjuk agar ummah khususnya ummah Mu di bumi ini melakukan penghijrahan minda.

"Daripada budaya menyemarakkan fitnah kepada menegakkan kebenaran; daripada budaya berjiwa kecil kepada berjiwa besar; daripada ummah yang bersifat munafik kepada ummah yang bertakwa.

"Agar ummah di bumi ini menjadi ummah yang dihormati lagi disegani sesama manusia dan dipandang mulia di sisi Mu," doa baginda diaminkan sekalian rakyat yang hadir di Pusat Konvensyen Casuarina Meru di sini.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Kemuncak Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Perak hari ini. - Foto Bernama
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Kemuncak Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Perak hari ini. - Foto Bernama

Sementara itu, dalam ucapannya Sultan Nazrin bertitah, umat Islam hendaklah bersedia malah wajib melakukan penghijrahan minda dan budaya.

Titah baginda, penghijrahan itu membolehkan ummah berupaya memahami dan mentafsirkan isu-isu semasa daripada pelbagai dimensi serta bertenaga menangani dan menguasai situasi semasa terutama revolusi teknologi yang sedang pesat berlaku.

"Cabaran yang semakin rencam dan rumit memerlukan perubahan minda-perubahan budaya yang dapat disesuaikan mengikut tuntutan masa, namun tetap memenuhi nilai tauhid agar manusia tidak terpesong daripada tafsiran hidup sebenar," titah baginda.

Sultan Nazrin turut menekankan bahawa penghijrahan minda dan budaya bukan semudah yang digambarkan kerana perlu bersandarkan ilmu dan bertiangkan pengetahuan.

Seperti penghijrahan minda kata baginda, memerlukan minda yang bersedia keluar daripada kepompong kejahilan dan zon keselesaan, berani menerokai pengetahuan, kemahiran, medium dan kaedah baharu, dirintis selari dengan keperluan zaman.

"Penghijrahan minda memerlukan minda yang dahagakan kemajuan, minda bijaksana, rasional, merdeka yang tidak berjiwa hamba dan minda yang tidak gentar pada perubahan.

"Penghijrahan budaya (pula) merupakan kesediaan meninggalkan budaya usang dan lapuk digantikan dengan budaya lebih dinamik yang mencerminkan keluhuran budi, mengamalkan disiplin, memiliki maruah dan harga diri, bersifat amanah, jujur, ikhlas bertunjangkan prinsip dan nilai Islam," titah baginda.

Dalam majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak bagi tahun 1445 Hijrah kepada Jurij Sulaiman.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin sekitar jam 10 pagi itu disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Hadir sama, Mufti Perak, Datuk Dr Wan Zahidi Wan Teh; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim.

ARTIKEL BERKAITAN:Maal Hijrah: Sultan Kedah titah jangan bangkit isu gugat perpaduan

Maal Hijrah: Jauhi hasad dengki, amalan fitnah - Agong

Bekas Ketua Pengarah IKIM Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan

Maal Hijrah: Tingkat azam pupuk visi, misi hidup lebih baik

Doa Sultan Nazrin, hijrah bersengketa kepada berdamai

Umat Islam perlu kuasai disiplin ilmu, teroka kejayaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!