PRN: Calon PKR tidak akan beri duit tambang bas kepada pengundi
SHAH ALAM - Komitmen utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak ditubuhkan adalah untuk melawan tata etika, tata kelola yang salah dan tidak mengikut perlembagaan negara.
Sehubungan itu, menurut Pengarah Pilihanraya Pakatan Harapan (PH) Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri, parti itu menolak amalan rasuah serta melawan urus tadbir tidak mengikuti lunas undang-undang.
Menurutnya, calon-calon yang dipilih bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) juga telah dikenal pasti mempunyai etika berasaskan undang-undang yang telah ditetapkan dalam pilihan raya.
"Sudah tentulah calon dipilih itu tidak akan membiayai apa-apa perbelanjaan kepada pengundi luar sebagaimana selalunya ada tuntutan atas nama 'duit tambang bas' dan sebagainya.
"Itu tidak akan berlaku sebab itu adalah sebahagian amalan rasuah yang diamalkan, maknanya komitmen untuk keluar mengundi adalah komitmen rakyat sebagai warganegara Malaysia," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, PKR juga tidak akan membeli undi dengan pergi dari rumah ke rumah untuk menyogok wang atau mengumpul pengundi di mana-mana lokasi untuk membayar mereka.
"Itu adalah komitmen yang sangat kita titik beratkan untuk mengikuti tata kelola yang baik dan dari sudut lunas undang-undang yang ditetapkan dalam sudut pilihan raya," katanya.
Menurutnya, di peringkat PH dan PKR khususnya telah memberikan latihan kepada anggota parti dalam mengendalikan PRN sejak awal lagi.
"Antaranya jentera pilihan raya mesti mengikut undang-undang ditetapkan dalam pilihan raya sebab dalam PRN ini pertamanya ia bukan hanya soal calon yang bertanding semata-mata," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!