Maal Hijrah: Sultan Kedah titah jangan bangkit isu gugat perpaduan
ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar umat Islam tidak membangkitkan isu-isu yang boleh menggugat perpaduan ummah.
Sultan Sallehuddin bertitah, baginda mengharapkan agar umat Islam di negeri ini khususnya sentiasa hidup dalam keadaan bersatu padu dan menjaga keharmonian bersama.
"Antara salah satu sebab perpecahan yang melanda masyarakat ialah ketidakmampuan dalam mengendalikan hawa nafsu selain tidak matang dalam memberikan tindak balas dalam perbezaan pendapat sehingga mudah melenting dan bergaduh sesama sendiri.
"Walhal, pergaduhan itu ada yang berpunca daripada isu remeh-temeh," titah baginda pada Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Tahun 1445H di sini pada Rabu.
Sultan Sallehuddin juga tidak perkenan dengan segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab menggunakan platform masjid sebagai tempat untuk berpolitik.
“Beta sama sekali tidak bersetuju dengan segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab menggunakan platform masjid sebagai tempat untuk berpolitik dan menimbulkan kegawatan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah, bibit-bibit perpecahan dapat diatasi apabila umat Islam kembali semula kepada ajaran yang paling asas iaitu berpegang pada roh al-Quran.
Baginda turut menyeru umat Islam menghayati peringatan ALLAH menerusi Surah Ali Imran ayat 105 yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan perselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi ALLAH), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.”
"Oleh itu, beta menyeru agar kita semua menghayati setiap inci iktibar dari kehidupan Rasulullah SAW serta berusaha sedaya upaya menyerap tingkah laku dan akhlak baginda agar tercerna dalam hidup kita uswah dan qudwah baginda yang sangat mulia itu," titah baginda.
Baginda bertitah, persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar perlu menjadi teladan kepada umat Islam bahawa ikatan keimanan, akidah dan keikhlasan menjadi tunjang kepada pembinaan negara Islam.
Tuanku bertitah, tanpa meremehkan atau meminggirkan kepelbagaian budaya, fahaman, kaum dan agama, Rasulullah SAW melakukan perjanjian dan persefahaman dengan pelbagai lapisan masyarakat yang tinggal di Kota Madinah.
"Perjanjian itu menunjukkan jiwa besar Rasulullah SAW membina penyatuan masyarakat, mencintai kehidupan aman damai dan selamat, tidak berperang sesama sendiri.
"Semua perkara penting dipertimbangkan sebelum membuat perjanjian dengan penduduk Madinah sama ada Muslim atau bukan Muslim," titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah, setelah itu, Rasulullah SAW membentuk persefahaman semua pemimpin kaum dengan perjanjian Piagam Madinah sebagai panduan bagi pembinaan negara dan umat yang bermaruah melalui kematangan politik.
"Kesemuanya ini dilaksanakan oleh baginda Rasulullah SAW demi menjaga dan memupuk perpaduan serta menjauhi perpecahan ummah.
"Semoga ALLAH sentiasa memayungi kehidupan kita dengan penuh keberkatan dan mendapat hidayah dari-Nya," titah baginda.
ARTIKEL BERKAITAN:Maal Hijrah: Sultan Kedah titah jangan bangkit isu gugat perpaduan
Maal Hijrah: Jauhi hasad dengki, amalan fitnah - Agong
Bekas Ketua Pengarah IKIM Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan
Maal Hijrah: Tingkat azam pupuk visi, misi hidup lebih baik
Doa Sultan Nazrin, hijrah bersengketa kepada berdamai
Umat Islam perlu kuasai disiplin ilmu, teroka kejayaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!