RM30,000 terabur atas jalan, mufti gesa orang ramai pulangkan segera

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mana-mana individu menjumpai duit mangsa yang terjatuh dari kereta dan bertaburan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Lak Lok di Jertih perlu memulangkan kembali wang tersebut kepada pemilik asal.

Mufti Terengganu, Datuk Profesor Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, ini kerana perbuatan individu mengambil hak orang lain adalah haram dan berdosa besar.

"Kita ambil hak orang lain, jadi kita kena kembalikan kepada pemilik sebenar. Haram hukumnya sebab bukan hak kita walaupun ambil sedikit atau satu sen sekalipun.

"Pernah dalam satu peperangan, ada sahabat nabi ingin mengambil tali kasut yang belum diagihkan (harta ghanimah), namun nabi melarangnya.

"Nabi mengingatkan ia bukan harta yang halal dan ambil itu seolah dari api neraka. Jadi ambil sesuatu yang bukan hak kita adalah haram," katanya.

Belliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Justeru, Mohamad Sabri berkata, mana-mana pihak yang sudah mengambil wang tersebut perlu memulangkan semula wang berkenaan.

"Orang ramai yang sudah mengambil wang tersebut kena cari balik orang yang berhak untuk kembalikan wang berkenaan dan itu sepatutnya berlaku," katanya.

Pada Ahad lalu, keluarga kepada mangsa yang kehilangan wang akibat terjatuh dari kereta dan bertaburan di Jertih menawarkan bayaran saguhati kepada mana-mana pihak yang memulangkan kembali wang tersebut.

Wan Mastura Wan Leh, 26, yang merupakan kakak kepada Wan Ibrahim Wan Leh, 24, turut merayu pihak yang mengambil duit hasil titik peluh adiknya itu dapat mengembalikan wang berkenaan.

Sebelum ini, Wan Ibrahim kehilangan kira-kira RM30,000 apabila wang tunai berjumlah lebih RM60,000 yang diletakkan atas but keretanya, terjatuh dan bertaburan di jalan berkenaan jam 11 pagi pada 13 Julai lalu.

Susulan kejadian itu, Wan Ibrahim mengalami kemurungan dan hanya berkurung di dalam bilik, memandangkan wang tersebut dikumpulnya sejak empat tahun lalu hasil pendapatan sebagai tukang gunting di bandar Jertih.

ARTIKEL BERKAITAN:

Wang RM30,000 terabur atas jalan raya lesap

Kakak rayu, tawar saguhati pulangkan duit hasil titik peluh adik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!