REE: Saya belum terima kunjungan SPRM - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan belum menerima kunjungan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan isu unsur nadir bumi (REE).

Muhammad Sanusi berkata, dia hanya mengetahui tentang siasatan SPRM menerusi kenyataan yang dibuat di akhbar.

"Saya hanya baca kenyataan. Nampaknya akhbar telah mendahului proses, saya pun hairan juga macam mana tajuk tu boleh keluar.

"Saya rasa ada satu plot yang besar sedang dirancang untuk memburukkan imej saya sebagai gambaran bahawa saya ni orang yang bermasalah, disiasat oleh macam-macam agensi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Tahun 1445H di sini pada Rabu.

Katanya, satu-satunya perkara "Brain Storm" untuk mengaitkan salah laku di Kedah adalah isu REE.

"Masalah tentang REE ini adalah kecurian, kalau saya tahu orang curi tentulah saya tangkap. Nama pun kecurian tentulah orang tak tahu kan.

"Jadi kecurian itulah cuba dibina naratif bahawa pencurian ni melibatkan menteri besar. Tak akan saya nak curi barang diri saya sendiri baik curi negeri lain," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai surat sokongan untuk membawa pekerja dari China masuk ke sini, Muhammad Sanusi berkata, dalam usaha untuk mengekstrak REE, telah berlaku satu usahasama antara MBI (Perbadanan Menteri Besar) dan Prospek Suria.

"Sebelum saya jadi menteri besar benda itu dah berlaku, jadi kita teruskan. Bila dia dapat lesen jelajah, dia nak bawa masuk pakar untuk memulakan proses itu.

"Ketika itu Covid-19, tak ada siapa boleh masuk pintu negara kita tutup, pintu negara China pun tutup. Jadi untuk memastikan boleh berlaku pergerakan masuk pakar itu dia memerlukan surat sokongan," katanya.

Ujarnya, tiada sebarang masalah kerana beliau hanya menyokong surat terbabit yang dituju kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika itu.

"KDN yang buat keputusan bukan saya. KDN buat keputusan orang ni boleh masuk, orang ni tak boleh masuk.

"Pendirian KDN, kita hanya sokong syarikat itu alasan dia, ada usahasama dengan MBI Itu saja. Bukanlah kerana surat itu tiba-tiba saya jadi pencuri. Takkan jauh begitu kaitannya kan," katanya.

Pada Ahad, surat sokongan bertarikh 3 Ogos 2020 yang ditandatangani oleh Muhammad Sanusi bagi memohon kemasukan pekerja dari China bagi kerja-kerja di tapak REE telah tular di media sosial.

Pada Selasa, SPRM turut membuka kertas siasatan berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa melibatkan seorang Menteri Besar dalam isu REE.

Menurut sumber, aktiviti perlombongan tersebut dipercayai dilakukan secara tidak sah, sekali gus menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!