GIPS desak kerajaan Selangor permudah pendaftaran SIP

Potensi institusi pendidikan agama di Selangor amat besar dan mendapat permintaan tinggi saban tahun - Gambar hiasan
Potensi institusi pendidikan agama di Selangor amat besar dan mendapat permintaan tinggi saban tahun - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Dianggarkan hampir 80 sekolah Islam persendirian (SIP) berhadapan risiko ditutup ekoran syarat ketat dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Pertubuhan Gabungan Institusi Pendidikan Islam Negeri Selangor (GIPS), Mohd Azwan Zainudin berkata, satu pekeliling terkini telah dikeluarkan pihak PBT terhadap SIP disifatkan sebagai satu arahan yang menyukarkan.

Beliau berkata, antara PBT mengeluarkan pekeliling terkini yang sangat ketat kepada SIP berlaku di kawasan di bawah kendalian Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Tegas beliau, pekeliling terkini tersebut dilihat sangat memberi tekanan terhadap pihak pengurusan SIP sehingga membawa kepada risiko penutupan.

"Penutupan kepada hampir 80 buah SIP ini bakal memberikan kesan kepada masa hadapan 20,000 pelajar yang berada di sekolah-sekolah agama terbabit.

"Ia adalah satu jumlah yang amat besar dan perkara seumpama ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia boleh beri kesan tidak baik kepada institusi pengajian Islam di negara ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

GIPS merupakan satu entiti baharu yang ditubuhkan khusus bagi memayungi ratusan sekolah agama swasta, maahad tahfiz dan SIP melibatkan hal-hal berkaitan pengurusan sekolah dan hal ehwal kebajikan.

Gabungan itu ditubuhkan atas faktor keperluan mendesak bagi menjaga kebajikan dan kemandirian institusi pendidikan agama Islam di Selangor yang kini berada dalam keadaan tidak selamat dan diancam status pendaftarannya.

Mengulas lanjut, Mohd Azwan berkata, meskipun pelbagai inisiatif luaran seperti peningkatan elaun guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) telah dilaksanakan, hakikatnya GIPS merasakan kerajaan yang memimpin Selangor sekarang tidak serius dalam agenda pembangunan institusi pendidikan Islam di negeri ini.

Dakwanya, terdapat usaha jelas daripada pihak-pihak tertentu seperti parti politik DAP yang secara jelas menggunakan kuasa PBT untuk memberikan tekanan kepada SIP di Selangor.

Menurut beliau, potensi institusi pendidikan agama di Selangor adalah amat besar, malah mendapat permintaan tinggi saban tahun.

Katanya, pengalaman kerajaan terdahulu pada 2008 hingga 2018 telah membawa kelebihan kepada pendidikan Islam di peringkat negeri menerusi idea penubuhan Maahad Tahfiz Integrasi Negeri Selangor (MITS).

Jelasnya, MITS dirancang untuk ditubuhkan di setiap daerah di negeri Selangor.

"MITS merupakan hasil idea dan keringat oleh Exco Pendidikan Negeri yang turut diterajui oleh pemimpin Pas ketika itu.

"Usaha membangunkan MITS telah berjaya dilaksanakan dan ditempatkan di lima daerah di Selangor.

"Usaha ini amat menguntungkan umat Islam di negeri Selangor dan wajar diberikan kredit oleh semua pihak," ujarnya.

Justeru, beliau berkata, GIPS terbuka untuk melakukan sebarang sesi perbincangan dengan pihak terlibat seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), PBT serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membincangkan isu kedudukan SIP di Selangor secara matang dan konstruktif.

Sementara itu, katanya, dengan penubuhan GIPS, ia diharap dapat membentuk solidariti dan usaha bersepadu mempertahankan institusi pengajian Islam di Malaysia.

Malah menurut beliau, ia juga diharap dapat menghantar isyarat jelas kepada kerajaan baharu yang bakal memimpin Selangor terhadap realiti sebenar menghimpit sekolah agama rakyat yang semakin hari semakin ditekan.

"GIPS menyeru agar para pencinta institusi pendidikan Islam agar membuat keputusan yang terbaik dalam pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.

"Satu harapan tinggi agar barisan kepimpinan yang bakal memimpin Selangor adalah daripada kalangan mereka yang tidak menganaktirikan institusi pendidikan Islam.

"Malah pemimpin yang dipilih itu nanti benar-benar serius dalam agenda pembangunan pendidikan Islam di Selangor, khususnya dalam aspek pengoperasian institusi pendidikan Islam swasta serta pembangunan institusi pendidikan Islam," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!