Sabtu penentu siapa gugur atau kekal - PKR
KUALA LANGAT - Senarai nama calon digugurkan atau kekal bertanding mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diumumkan pada Sabtu ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP), Rodziah Ismail berkata, pemilihan calon-calon telah melalui fasa saringan yang ketat sebelum nama calon dipilih untuk mewakili parti tersebut.
"Kejutan itu hanya boleh didengar pada Sabtu. Mungkin ada yang gugur, mungkin ada dikekalkan, (dalam pemilihan) itu pastilah berlaku kerana sudah menjadi adat dalam pemilihan.
"(Setiap) tempat hanya ada satu nama, macam Keadilan (PKR) sistem proses pencalonannya agak baik pada pilihan raya lepas di mana kita buka kepada 'public' dan lepas tu kita adakan saringan.
"Semasa saringan kita akan melihat semua aspek, kombinasi itu sebenarnya kadang-kadang memerlukan jawapan atau pun memberikan tanggungjawab itu kepada presiden," katanya.
Beliau juga Ahli Parlimen Ampang ditemui sewaktu membuat lawatan ke Projek Ternakan Ayam Daging Tertutup Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat di Kampung Tumbuk Darat di sini, pada Rabu.
Pada Rabu, PKR menerusi laman Facebooknya memaklumkan pengumuman calon PKR dalam PRN akan diumumkan di Padang Awam MBSA, Seksyen 7, di sini pada jam 8.30 malam, pada Sabtu.
Rodziah menambah pemilihan calon PRN bukan sekadar memilih seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebaliknya memilih pentadbir untuk menerajui negeri dengan lebih baik.
"Jadi saya rasa kejutan pada hari itu akan dapat kita tengok, sama ada berlaku terkejut atau tidak namun bagi saya tidak banyak kejutan yang bakal berlaku," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!