Imbuhan menanti Irfan

Irfan (kanan) bersama pingat gangsa yang dimenanginya di Kejohanan Olahraga Asia 2023. - Foto Irfan Shamsuddin
Irfan (kanan) bersama pingat gangsa yang dimenanginya di Kejohanan Olahraga Asia 2023. - Foto Irfan Shamsuddin
A
A
A

JAGUH lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin bakal menerima imbuhan daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) susulan kejayaan membutirkan pingat gangsa pada Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Bangkok, Sabtu lalu.

Bagaimanapun Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya akan memaklumkan bentuk imbuhan bakal dinikmati Muhammad Irfan itu nanti, selepas muncul satu-satunya atlet negara menyumbang pingat pada saingan berlangsung di Stadium Nasional Suphachalasai.

“Sudah pasti (imbuhan untuk Muhammad Irfan), apa bentuk akan diberitahu kemudian,” katanya baru-baru ini.

Muhammad Irfan mencatat lemparan terbaik sejauh 59.63 meter (m) daripada enam percubaan untuk merangkul gangsa manakala emas disambar Abuduaini Tuergong dari China (61.19m) dan perak dimenangi wakil Kuwait Eissa Zankawi (60.23m).

Shahidan juga optimis beberapa atlet negara yang menampilkan aksi mengagumkan sehingga berjaya mara ke final pada kejohanan berakhir Ahad lalu itu, termasuk jaguh pecut, Muhammad Azeem Mohd Fahmi akan bangkit menyinar di Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, bermula 23 September hingga 8 Oktober ini.

“Atlet negara yang beraksi di final cukup hebat. Mereka mempunyai harapan cerah pada masa depan dan masih ada peluang baik di Sukan Asia,” katanya.

Jumaat lalu, hasrat Muhammad Azeem untuk menaiki podium tidak kesampaian selepas menamatkan saingan acara 100m lelaki di tempat kelima dengan catatan masa 10.25 saat.

Shahidan pada masa sama juga memberi jaminan KOM akan terus berusaha menghantar atlet negara untuk meraih pengalaman beraksi di pertandingan antarabangsa biarpun sesetengah kejohanan tidak dibiayai Majlis Sukan Negara.

Katanya, mereka akan menggunakan dana daripada penajaan kepada KOM untuk memberi pendedahan diperlukan sekali gus membantu meningkatkan prestasi atlet negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!