Alba sertai Messi di Inter Miami
BEKAS pertahanan Barcelona, Jordi Alba akan menyertai Lionel Messi di Inter Miami, kata presiden Liga Bola Sepak (MLS) Amerika Syarikat itu, Jorge Mas.
Bek kiri berusia 34 tahun itu dilepaskan Barcelona pada penghujung musim lalu selepas bermain lebih 450 perlawanan untuk kelab itu, memenangi Liga Juara-Juara pada 2015, enam kejuaraan LaLiga, lima kejuaraan Piala Raja Sepanyol, empat Piala Super Sepanyol dan Piala Dunia Kelab.
Alba akan menjadi sebahagian kontinjen bekas Barcelona yang kuat di Inter Miami, dengan Messi dan Sergio Busquets telah pun menyertai kelab itu.
“Dia sudah pun menandatangani kontraknya dan akan tiba dalam beberapa hari akan datang. Tata (jurulatih Gerardo Martino) mengharapkannya,” kata Mas.
Miami juga sedang mencari untuk menandatangani seorang lagi bekas pemain Barca, penyerang Uruguay Luis Suarez, yang bermain untuk Gremio di Brazil.
Mas berkata, bahawa perbincangan telah berlaku tetapi Suarez dalah pemain Gremio dan pihaknya menghormatinya.
Presiden MLS juga mengesahkan ketibaan pemain tengah Paraguay, Diego Gomez dari Libertad, dan berkata mereka telah membuat hubungan rasmi dengan kelab Racing Club dari Argentina untuk bertanya tentang Tomas Aviles.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!