Bebas tuduhan rogol, Mendy bina semula karier di Lorient

Benjamin Mendy
Benjamin Mendy
A
A
A

BEKAS bek kiri Manchester City, Benjamin Mendy menandatangani kontrak bersama kelab Ligue 1 Perancis, FC Lorient dengan kontrak dua tahun selepas dibebaskan daripada tuduhan merogol.

Pemain Perancis berusia 29 tahun itu didapati tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol dan satu percubaan merogol oleh mahkamah Britain pada Jumaat.

Pada Januari, Mendy didapati tidak bersalah atas enam pertuduhan merogol dan satu pertuduhan serangan seksual.

Kali terakhir Mendy bermain untuk Manchester City menentang Tottenham Hotspur pada Ogos 2021 dan digantung kelab Liga Perdana Inggeris tersebut pada bulan itu selepas penahanannya.

Sebagai rekod, Manchester City telah melepaskannya apabila kontraknya tamat bulan lalu.

Lorient dalam satu kenyataan berkata Mendy telah lulus ujian perubatan, akan memakai jersi nombor lima dan membuat penampilan pertamanya di padang latihan kelab itu pada Rabu.

Mendy menjadi pemain pertahanan termahal Liga Perdana Inggeris apabila menyertai City dari kelab Perancis, AS Monaco dengan harga 52 juta pound pada 2017.

Dia memenangi tiga kejuaraan liga bersama City dan merupakan ahli skuad pemenang Piala Dunia 2018 Perancis, tanpa bermain di final.

Sebagai rekod, Lorient menduduki tempat ke-10 dalam liga musim lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!