Ibu bapa kena pantau telefon pintar anak

Ibu bapa perlu memantau penggunaan telefon bimbit dalam kalangan anak-anak mereka. - Gambar hiasan 123RF
Ibu bapa perlu memantau penggunaan telefon bimbit dalam kalangan anak-anak mereka. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

HARI ini tidak menjadi kehairanan dalam masyarakat apabila kita melihat anak-anak kecil sudah pandai memegang telefon pintar atau gajet, mungkin untuk menonton kartun, bermain game atau sebagainya.

Malah ia juga bukan satu perkara pelik apabila murid sekolah rendah sudah memiliki telefon pintar, siap ada sambungan internet dan miliki akaun media sosial sendiri.

Berdasarkan tinjauan pendapat yang dilakukan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Lembah Klang juga mendapati sebanyak 78.3 peratus ibu bapa membenarkan anak memiliki gajet.

Mungkin bagi sesetengah ibu bapa pendedahan telefon pintar atau gajet kepada anak sebagai satu keperluan untuk pembelajaran masa kini dan tidak dinafikan internet menawarkan kelebihan kepada murid antaranya meningkatkan penguasaan digital bagi melakukan pencarian maklumat dan rujukan untuk menyiapkan tugasan sekolah mereka, namun harus diingat ada natijahnya jika penggunaannya melampaui batas.

Pada Jun lalu, World of Statistics menerusi Twitternya mendedahkan, Malaysia menjadi tiga negara teratas dunia yang kadar ketagihan penggunaan telefon pintar tertinggi dalam kalangan rakyatnya.

Negara kita berada di belakang China dan Arab Saudi bagi kadar ketagihan penggunaan telefon pintar.

Menurut hasil laporan tahunan Digital 2023 yang dikeluarkan oleh Meltwater, rakyat negara kita juga didapati ketagih media sosial apabila kira-kira 26.8 juta pengguna internet menghabiskan masa selama dua jam 47 minit sehari atau lebih 20 jam seminggu bagi melayari platform media sosial.

Selain masalah ketagihan penggunaan telefon dan internet, tindakan sesetengah ibu bapa yang membiarkan anak melayari internet tanpa kawalan orang lebih dewasa mendedahkan mereka dengan kes jenayah terutama pedofilia dan seksual.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan sebelum ini mendedahkan pedofilia menjerat remaja perempuan di platform media sosial dan mempengaruhi mereka untuk melakukan hubungan seks.

Bagi tempoh dua tahun iaitu 2021 dan 2022, sebanyak 3,360 kes rogol dilaporkan dan paling ramai menjadi mangsa adalah remaja berusia 13 hingga 15 tahun.

Bukan sahaja jenayah pedofilia, penggunaan internet tanpa kawalan juga mendedahkan anak muda dengan perbuatan tidak bermoral.

Berdasarkan kajian daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati 75 peratus remaja terutamanya lelaki pernah menonton video lucah atau melihat gambar lucah.

Menurut Pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan UKM, Profesor Madya Dr Noor Azimah Muhammad, kajian dijalankan pada 2021 itu menunjukkan kebanyakannya adalah remaja lelaki yang terjebak semasa menuntut di sekolah menengah dan kerap menggunakan internet di rumah secara bersendirian tanpa dikesan ibu bapa.

Lebih parah lagi apabila terdapat kes seorang pelajar lelaki mengakui menonton lebih 200 video pornografi sehari semata-mata untuk memuaskan keinginan seksualnya dan mengamalkan aktiviti seks bebas semasa menuntut di kolej.

Gangguan psikologi

Pendedahan diri kepada video lucah dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan remaja mengalami gangguan psikologi seperti sukar fokus ketika belajar dan bersikap agresif seperti mana berlaku terhadap seorang pelajar di Selangor baru-baru ini.

Mangsa yang merupakan ketua kelas di sebuah sekolah ditendang di kepala hanya kerana menegur rakannya menyebar video lucah dalam kumpulan WhatsApp sekolah.

Kisah tragis itu dikongsikan oleh ibu mangsa menerusi akaun Facebook milik anaknya memberitahu keadaan itu menyebabkan anaknya lumpuh dan tidak dapat menggerakkan badan akibat tendangan terbabit.

Masalah ini tidak boleh dipandang enteng oleh semua pihak terutama ibu bapa. Pantau penggunaan telefon pintar anak dengan mengehadkan masa, menentukan bentuk kandungan dilihat dan pastikan mereka melayari internet melalui saluran yang lebih selamat.

Jika semua ibu bapa mengambil cakna masalah ini, kemungkinan masalah negatif berkaitan penggunaan telefon pintar dan internet dapat dikurangkan. Biar anak menangis sekarang daripada kita menangis kemudian hari!

*Siti Shamila Che Zahari ialah Editor Pengisian Sinar Harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!