Jenayah indeks di Malaysia menurun

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Statistik jenayah indeks menurun sebanyak 1.1 peratus dengan 25,482 kes dicatatkan sejak Januari hingga Jun lalu, berbanding 25,775 kes dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak 16,518 kes daripada 25,482 kes Jenayah Indeks telah berjaya diselesaikan bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

"Peratus penyelesaian kes sebanyak 64.8 peratus berbanding dengan sasaran kadar penyelesaian kes yang ditetapkan iaitu sebanyak 45 peratus," katanya dalam ucapan ketika perhimpunan bulanan di Bukit Aman, pada Khamis.

Razarudin berkata, sejumlah 56,677 kertas siasatan telah dibuka dari 1 Januari hingga 30 Jun lalu melibatkan jenayah indeks dan non-indeks.

"Dalam tempoh tersebut juga, sejumlah 31,014 pertuduhan dicapai iaitu 54.72 peratus.

"Saya berharap agar momentum kecemerlangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus dipertingkatkan dengan melakar lebih banyak episod kejayaan," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Razarudin berkata, seluruh petugas PDRM telah bersiap sedia sedia sepenuhnya memberikan perkhidmatan yang terbaik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

"Dalam kita melaksanakan tugas yang diamanahkan, kesihatan dan keselamatan diri juga perlu diberi keutamaan.

"Pucuk pimpinan pasukan akan berusaha untuk memastikan kebajikan para petugas PDRM sepanjang PRN ini kekal terjaga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!