Kempen serang peribadi bukan cara Islam - Nik Omar
IPOH - Kaedah kempen pilihan raya dengan menyerang peribadi lawan bukan sesuatu yang diajar oleh Islam.
Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Pusat, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, kempen yang dibuat seharusnya menjurus kepada usaha meyakinkan rakyat terhadap tawaran yang diberikan jika menang.
Menurutnya, terpulanglah kepada rakyat menilai dan memilih mana parti untuk diundi berdasarkan keyakinan mereka terhadap tawaran yang disediakan oleh parti atau calon bertanding.
"Setiap orang berhak untuk memilih jadi kalau kita pilih A tetapi tidak sampai ke peringkat kita serang B tanpa etika, itu dalam Islam pun tidak dibenar walaupun mungkin jenama yang kita nak bawa itu jenama yang baik bernama Islam.
Tetapi kalau kita penuhi dengan fitnah, dengan propaganda, sentimen, itu tidak baik sebenarnya.
"Sebolehnya pemimpin politik, pemimpin utama ini daripada mana-mana pihak pun kena ada hormat kepada diri kita dan hormat kepada lawan kita.
Kita tidak perlu guna istilah yang nampak jelas macam memperlekeh, menghina seseorang. Itu tak sesuailah," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Peluncuran Buku Ustaz Sulam: Sebuah Potret Ulama Kampung dan Pembangunan Nasional di sebuah pusat membeli-belah di sini pada malam Rabu.
Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Misbahul Munir Masduki dan penulis buku, Muhaimin Sulam.
Sementara itu, Nik Omar berkata, pendakwaan terhadap seorang pimpinan politik baru-baru merupakan satu hikmah yang perlu diteladani oleh semua supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.
"Macam mana pun kita kena terima bahawa negara kita negara demokrasi ada perlembagaan dan institusi diraja ini berada pada kedudukan yang tinggi yang perlu dihormati.
"Kalau kita tak berpuas hati pun mungkin kita ada saluran lebih baik untuk beri pandangan," katanya.
Ditanya mengenai pencalonan beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Nik Omar memaklumkan tidak berhasrat untuk bertanding ketika ini kerana baru sahaja berpindah ke Selangor.
Menurutnya, peluang harus diberikan kepada muka baharu yang lebih berpotensi untuk memenangi PRN kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!