Pilih kesederhanaan, tolak taasub politik - Khaled

Mohamed Khaled (tengah) ketika melancarkan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Hulu Terengganu di Plaza Rahmat OKB, Kuala Berang pada malam Rabu.
Mohamed Khaled (tengah) ketika melancarkan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Hulu Terengganu di Plaza Rahmat OKB, Kuala Berang pada malam Rabu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Masyarakat diminta untuk mengangkat agenda kesederhanaan selain menolak ketaasuban dan politik berunsur fitnah serta pembohongan pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesan buruk akibat kefahaman sedemikian antaranya menjadikan negara ini sukar dibangunkan untuk maju susulan sering menggunakan isu kaum dan agama sehingga membawa kepada perpecahan perpaduan sesama rakyat.

"Apabila taasub masyarakat tidak akan dapat melihat sesuatu perkara secara adil dan objektif sebab itulah Menteri Besar Kedah apabila kena dakwa, mereka anggap dia sebagai hero.

"Padahal apa dia lakukan adalah menghina dan merendahkan sultan. Kalau kita biarkan pada akhirnya nanti tidak ada sesiapa hormati institusi raja.

"Jika dibiarkan maka semua perkara ini berlaku kerana ketaasuban. Apabila taasub akan jadi ekstrem dan setelah jadi ekstrem maknanya telah menolak kesederhanaan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Hulu Terengganu di Plaza Rahmat OKB, Kuala Berang pada malam Rabu.

Pada 14 Julai lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 31 laporan polis di seluruh negara membabitkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Susulan daripada isu tersebut, pada Selasa, beliau ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, kira-kira jam 3 pagi di dalam sebuah bilik hotel tingkat 33A di Mont Kiara.

Baru-baru ini lebih 1,000 orang berkumpul di balai ketibaan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, dekat sini untuk menyambut Muhammad Sanusi pada petang Selasa.

Mereka hadir seawal jam 3 petang untuk memberikan sokongan kepada Ketua Pengarah Pilihan raya Perikatan Nasional tersebut yang telah didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, seluruh jentera BN perlu menguar-uarkan kepada pengundi mengenai amalan kesederhanaan semasa pilihan raya nanti supaya dapat menolak politik berunsur ketaasuban.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pengundi terutama golongan muda perlu menilai sesebuah kerajaan tersebut berasaskan prestasi dan bukannya terikut dengan emosi dan sentimen.

"Bagaimana prestasi kerajaan Terengganu yang ada pada hari ini. Adakah ia bagus atau keadaannya tidak seperti dihebahkan.

"Adakah ia telah laksanakan semua manifestonya dahulu atau tak lakukan. Kita mesti bawa pengundi supaya sama-sama menilai prestasi kerajaan negeri sedia ada.

"Kalau nak lihat dari aspek ekonomi, kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan keupayaan menarik pelaburan misalnya lima negeri dengan prestasi terbaik iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor, Pahang dan Perak semua ditadbir Kerajaan Perpaduan," ulasnya.

Justeru, Mohamed Khaled berkata, tugas penting semua jentera BN adalah menghebahkan kepada pengundi terutama orang muda mengenai prestasi kerajaan sedia ada dan inisiatif ditawarkan sepanjang pemerintahan sebelum ini.

Pada 5 Julai lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.

Tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

ARTIKEL BERKAITAN:MB Kedah ditahan

Muhammad Sanusi dibawa masuk menerusi laluan lokap mahkamah

Pertuduhan di mahkamah bunuh karier menjelang PRN - Sanusi

Bicara Sanusi secara adil, bebas cengkaman politik

Lujnah undang-undang urus kes Sanusi sebaik mungkin - Tuan Ibrahim

Laungan takbir bergema iringi Sanusi

Tindakan undang-undang ke atas Sanusi pengajaran buat semua - Pas

'Saya faham, tidak mengaku salah Yang Arif' - Sanusi

Polis rekod keterangan Guan Eng, Abdul Hadi isu 3R

Polis ambil keterangan Dr Mahathir

Kertas siasatan kes Tun M dirujuk ke Pejabat Peguam Negara

Sanusi hilang status MB, kerusi ADUN jika bersalah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!