Maguire, Greenwood perlu tinggalkan United
BEKAS kapten Manchester United, Wayne Rooney menasihatkan Harry Maguire dan Mason Greenwood untuk meninggalkan Old Trafford.
Maguire telah dilucutkan jawatan kapten minggu lalu oleh pengurus Erik ten Hag yang memberikan petunjuk bahawa pertahanan England itu tidak penting lagi untuk pasukan.
Pemain berusia 30 tahun itu hanya memulakan lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dan perlu berpindah dari United jika dia mahu kekal dalam pasukan England untuk saingan Euro 2024.
West Ham dilaporkan telah menunjukkan minat untuk menandatangani Maguire dan Rooney percaya bekas pemain Leicester itu harus mempertimbangkan tawaran tersebut.
“Selepas dilucutkan jawatan kapten, bagaimana dia mahu terus berada di kelab itu?
“Ia menunjukkan pengurus benar-benar tidak percaya kepadanya. Ten Hag meninggalkan Harry dalam kedudukan di mana dia perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk terus bermain. Perkara terbaik sekarang mungkin dia perlu berpindah,” katanya.
Dalam pada itu, situasi Greenwood sangat berbeza dengan Maguire selepas pemain berusia 21 tahun itu masih tidak dapat bermain walaupun semua tuduhan jenayah terhadapnya telah digugurkan.
Pemain itu telah digantung oleh United pada Januari 2022 apabila tuduhan terhadapnya muncul di media sosial, didakwa dengan cubaan merogol, mengawal menerusi perlakuan dan serangan Oktober lalu.
“Ia meninggalkan Mason Greenwood dalam kedudukan di mana dia tersepit. Jadi, bagi Mason ia adalah satu kedudukan yang buruk kerana saya pasti dia hanya mahu bermain bola sepak.
“Saya fikir perkara terbaik untuk Mason sekarang ialah keluar dari kelab dan pergi ke pasukan lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!