Malaysia di kedudukan terbaik Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga

Rafizi Ramli. - Foto Bernama.
Rafizi Ramli. - Foto Bernama.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia berada pada kedudukan terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga (Energy Transition Index) baru-baru ini, dengan mengambil kira prestasi sistem dan kesediaan negara untuk beralih ke sumber tenaga yang lebih mesra alam.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, pencapaian itu membuktikan Malaysia berada di landasan yang tepat bagi pengurusan peralihan tenaga pantas, selamat dan berpatutan.

Katanya, Malaysia juga mempunyai pelbagai kelebihan seperti lokasi yang strategik, sumber tenaga boleh baharu (TBB) dan tahap kemahiran yang tinggi untuk menjadi peneraju serantau dalam bidang peralihan tenaga.

"Oleh itu, negara dilihat mampu meraih peluang untuk menarik pelaburan global dalam sektor teknologi bersih yang telah mencecah RM 5 trilion pada 2022. Nilai ini dijangka akan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang.

"Pada 27 Julai 2023, Kementerian Ekonomi akan melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa 1 semasa program Invest Malaysia KL 2023 Special Series," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Rafizi, pelancaran NETR Fasa 1 itu merupakan titik permulaan dalam usaha mengarusperdanakan peralihan tenaga naratif pembangunan negara.

"NETR akan mengumumkan pelaksanaan sepuluh projek rintis perdana yang dijangka menjana pelaburan berjumlah RM25 bilion, mewujudkan 23,000 peluang pekerjaan serta pengurangan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram setahun secara kumulatif.

"Ia adalah tindakan tuntas susulan pembaharuan dasar semasa berkaitan TBB khususnya peningkatan sasaran baharu kapasiti terpasang TBB daripada 40 peratus pada tahun 2035 kepada 70peratus menjelang tahun 2050," jelasnya.

Beliau memberitahu, sasaran yang lebih tinggi dijangka dapat mewujudkan peluang ekonomi baharu selain menarik syarikat multinasional, khususnya RE100 untuk beroperasi di Malaysia.

"Sejumlah RM637 bilion pelaburan diperlukan bagi peningkatan TBB sehingga 2050 yang merangkumi sumber penjanaan TBB, pengukuhan infrastruktur grid termasuk sambung tara, integrasi sistem penstoran tenaga dan kos operasi sistem rangkaian grid.

"Kementerian Ekonomi berharap NETR dapat memandu agenda strategik untuk mencipta peluang pekerjaan baharu bergaji tinggi, merancakkan penyertaan pelaburan dalam dan luar negara, menjamin kelangsungan bekalan tenaga negara, dan menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam industri tenaga bersih dalam jangka masa panjang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!