Reformasi ekonomi perlu kerjasama semua pihak

Chean Chung
Chean Chung
A
A
A

SHAH ALAM - Reformasi ekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan memerlukan kerjasama semua pihak dan tanpa perkara tersebut ia boleh menjerumuskan negara kepada kegagalan, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

Jelas beliau, industri baharu perlu dimudahcarakan, pelaburan harus dimanfaatkan, pendidikan dan latihan disesuaikan dengan keperluan bermula dari sekolah rendah.

Katanya, paling penting, negara perlu kekal stabil, bersatu padu dan ada ketentuan hala tuju pembangunan.

"Ketidaktentuan politik akan menjejaskan keyakinan pelabur asing dan domestik. Oleh itu, keyakinan bagi semua pihak, biarpun majikan, pelabur dan pekerja adalah kunci kejayaan.

"Persiapan yang rapi dan awal adalah lebih penting daripada rasa takut. Jika kita dapat persiapkan pekerja-pekerja, anak-anak muda serta majikan untuk reformasi ekonomi tersebut, pastinya 'kepahitan' akan diganti dengan perasaan teruja, yang mana mereka akan dapat menceburi bidang atau industri baharu, ada kerja yang lebih cemerlang serta gaji yang lebih tinggi," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Chean Chung yang juga Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), kerajaan gigih mencari sumber pertumbuhan baharu yang dapat memacu pembangunan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), mentransformasikan struktur ekonomi serta menaikkan gaji majoriti rakyat.

"Sumber pertumbuhan baharu, antaranya adalah tenaga boleh diperbaharui. Difahamkan National Energy Transition Roadmap (NETR) akan dilancarkan pada 29 Julai, dan Hydrogen Economy and Technology Roadmap (HETR) akan diumumkan pada hujung tahun ini.

"Di bawah trend alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan pembangunan mampan (SDG) sedunia yang makin bermomentum, usaha ini akan dapat membangunkan Malaysia sebagai negara bertenaga hijau yang besar di rantau ini, di samping menarik pelaburan domestik dan asing," ujarnya.

Selain itu, beliau menjelaskan, naratif Ekonomi Madani juga akan dilancarkan pada Ogos 2023.

"Usaha-usaha lain seperti mengukuhkan lagi rantaian elektrik dan elektronik (E&E) Automotif, Kimia dan lain-lain akan terus diperdalamkan.

"Inisiatif digitalisasi, automasi dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) juga akan diberikan keutamaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!