Pungguk Jelapang menanti tikus di kebun sawit

A
A
A

No Image Caption



Inisiatif Burung Pungguk Jelapang (Barn Owl) untuk Pekebun-pekebun Kecil Kelapa Sawit atau BOSI merupakan usaha Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui MPOGCF untuk membantu pekebun-pekebun kecil kekal relevan dalam rantaian pengeluaran minyak sawit mampan.

Inisiatif menggunakan burung Pungguk Jelapang dalam Kawalan Bersepadu Makhluk Perosak (Integrated Pest Management, IPM) telah lama dipraktikkan di ladang-ladang sawit tetapi kurang popular dalam kalangan pekebun-pekebun kecil kelapa sawit.

Kaedah biologi bagi mengawal populasi tikus ini akan menggurangkan penggunaan racun kimia secara berperingkat-peringkat.

Kaedah hijau ini lebih selamat kepada alam sekitar dan keberkesanannya lebih lama berbanding racun kimia yang memberikan kesan yang cepat tapi tempoh yang singkat.

No Image Caption

MPOGCF dan Barn Owl Research Group (BORG) dari USM bekerjasama menjalankan projek perintis BOSI di Bandar Baharu Kulim, Kedah.

Sebanyak 20 kotak atau rumah untuk burung Pungguk Jelapang dipasang secara percuma melibatkan 20 pekebun kecil terpilih.

Projek perintis ini berjalan selama dua tahun dan selepas itu akan diperluas ke seluruh negara melibatkan lebih ramai pekebun-pekebun kecil kelapa sawit.

Kaedah biologi ini adalah amalan pertanian baik (GAPs) yang menjadi antara komponen penting pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Dengan MSPO, pasaran antarabangsa minyak sawit Malaysia lebih luas terbuka sekaligus menjanjikan kualiti hidup lebih baik kepada pekebun-pekebun kecil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!