Litrak laksana lencongan sementara di jejambat Puchong Jaya
PUCHONG - Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) akan melaksanakan perubahan lencongan trafik sementara bermula di Kilometer (KM) 22 hingga KM 19.2 dari arah Shah Alam/ Putrajaya ke Petaling Jaya/Bandar Sunway.
Litrak dalam satu kenyataan memaklumkan, lencongan trafik itu akan dilaksanakan pada Isnin hingga Jumaat bermula 20 Julai 2023 dari jam 4.30 petang hingga 8.30 malam.
“Selaras dengan pemerhatian daripada kajian laluan kontra yang bermula 17 Julai lalu, kami telah mengenal pasti langkah-langkah penambahbaikan keselamatan berdasarkan keadaan trafik dari Shah Alam/ Putrajaya menghala ke Petaling Jaya/ Sunway.
“Pengguna dari arah Shah Alam/ Putrajaya akan dilencongkan ke kiri sebelum jejambat Persimpangan Puchong Jaya arah ke PJ dan Sunway dan menggunakan jalan susur untuk ke Petaling Jaya/Sunway,” menurut kenyataan itu.
Litrak memaklumkan disebabkan itu adalah kajian laluan kontra, pihaknya akan terus memantau keadaan trafik dan keselamatan secara teliti serta melaksanakan penambahbaikan berdasarkan pemerhatian sepanjang tempoh kajian.
“Kesabaran serta kerjasama pengguna lebuh raya sepanjang tempoh ini amat kami hargai.
“Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi talian bantuan LDP di 03-7494 7333 atau ikuti kami di Twitter @LDPTrafik,” kata kenyataan itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!