Meterai kerjasama tubuh Dana Penjana Selangor
PERMODALAN Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan kerjasama Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec) dan Penjana Kapital memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penubuhan Dana Penjana Selangor, sebuah inisiatif Modal Teroka Korporat pertama di Malaysia.
PNSB dalam satu kenyataan memaklumkan usaha itu didokong kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor dan MoU antara PNSB bersama Sidec dengan Penjana Kapital diadakan di Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
"Di peringkat kerajaan Persekutuan, program dana modal teroka oleh Penjana Kapital telah menunjukkan keberkesanannya dan adalah menjadi aspirasi supaya model yang sama dapat dilaksanakan peringkat negeri.
"Model baharu ini akan mengumpulkan modal daripada pelbagai sumber untuk mencipta dana khusus yang akan dilaburkan dalam beberapa dana modal teroka yang terpilih.
"Ini adalah untuk menggalakkan kepelbagaian serta menguruskan risiko," kata PNSB.
MoU ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim bersama Ketua Pegawai Eksekutif Penjana Kapital, Taufiq Iskandar Jamingan dan Ketua Pegawai Ekskutif Sidec, Yong Kai Ping.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.
PNSB turut memaklumkan perkongsian dan inisiatif strategik seperti program fund-of-funds sebelum ini sudah terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko pelaburan dalam syarikat pemula dan menggalakkan aliran modal persendirian.
Terdahulu, Steven Sim mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Selangor melalui anak syarikat PNSB dan agensi Sidec serta Penjana Kapital bersetuju merangka mekanisme perkongsian pelaburan dalam dana modal teroka yang bakal memanfaatkan syarikat pemula niaga tempatan.
Menurutnya, jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan syarikat milik kerajaan Persekutuan perlu diperkukuh untuk mewujudkan skala pelaburan yang lebih besar.
"Saya berharap agar kerjasama ini dapat menarik pelabur swasta untuk turut serta melabur bersama kerajaan dalam syarikat pemula niaga melalui dana modal teroka dan seterusnya merancakkan pertumbuhan di pasaran pembiayaan alternatif," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!