Ramadan: Umat Islam jangan terperangkap

Elak berlebihan dan membazir semasa Ramadan.
Elak berlebihan dan membazir semasa Ramadan.
A
A
A

APABILA menyebut Bufet Ramadan pelbagai lontaran kosa kata promosi diungkapkan di dada media massa.

Tidak cukup dengan istilah bufet diselitkan juga, promosi, early bird dan segala macam seru yang menggamit disediakan di hotel seperti kemudahan tarawih, surau disediakan, alunan nasyid, parkir yang luas dan pakej privasi bagi memastikan umat Islam turut merasakan diraikan dalam bulan penuh mulia ini.

Paling akhir diselitkan dengan istilah Jakim dan Highest Halal Friendly Rating Hotel pada iklan promosi mereka.

Tidak salah menyediakan tempat berbuka puasa pada bulan mulia ini. Malah, ganjaran besar diperuntukkan kepada sesiapa yang menjadi tuan rumah pada malam-malam Ramadan.

Namun, apabila di setiap iklan dan promosi yang dinukilkan di media, diselitkan nilai harga tertentu seolah-olah ganjaran pahala yang terhidang cuba dimanipulasikan oleh para pemain industri makanan di negara ini.

Rata-rata harga menu yang dikatakan ‘promosi’ itu tidak mencerminkan semangat dan falsafah pada bulan Ramadan ini. Jika rajin menjengah senarai harga di atas talian, mudah untuk mendapati betapa harga mampu mencecah sehingga lebih RM130 ke atas.

Amat malang pada saat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa melancarkan kempen ‘Ramadan Tanpa Pembaziran dan Majlis Pelancaran Marhaban Ya Ramadan’ di Masjid Wilayah Persekutuan baru-baru ini, negara masih lagi disulami dengan kerakusan pihak industri pada bulan mulia ini.

Promosi demi promosi dalam kalangan pemain industri untuk menarik para pelanggan menjadikannya sebagai satu perlumbaan. Dalam kalangan pengunjung pula, tempahan dan nilai yang tertinggi seolah-olah menjadi penentu kelas dan darjat masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Konsep berbuka dengan buah tamar dan air seolah-olah telah luput dan pupus. Malah, kehebatan berhidangan pula menjadi tumpuan dan pastinya tiada sesiapa yang mampu menjamah kesemua hidangan yang ditawarkan. Paling malang ialah apabila akhirnya ia hanya menjadi pembaziran semata.

Kempen yang dilancarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), dilihat sebagai satu usaha murni untuk mengekang pembaziran terutamanya dalam industri makanan.

Laporan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), rakyat di negara ini membuang 15,000 tan metrik makanan sehari dan 3,000 tan metrik daripadanya adalah makanan yang masih elok dan tidak sepatutnya dibuang.

Menurut Mujahid dalam majlis kempen berkenaan, “... bahan sisa buangan itu meningkat 15 hingga 20 peratus pada Ramadan. Jadi ubahlah sikap dan apabila ke bazar Ramadan, fikirlah 10 kali sebelum membeli kerana kita antara yang menyumbang kepada pembaziran yang melampaui batas sehingga boleh merosakkan alam sekitar.”

Kedua-dua situasi iaitu promosi di hotel dan resort serta kemeriahan di tapak bazar Ramadan seolah-olah satu acara lumrah yang wajib di negara ini.

Dalam cubaan kerajaan untuk mendidik rakyat terutamanya umat Islam tentang peri pentingnya mengelak pembaziran, menjadi sia-sia sekiranya tidak disertai dengan usaha yang lebih bersungguh.

Dalam situasi ini, demi menyahut kempen kerajaan, sudah tiba masanya untuk para pemain industri dalam kalangan pengusaha hotel dan resort serta bazar Ramadan untuk menjadi tuan rumah kepada umat Islam Malaysia dengan menyediakan majlis berbuka puasa terbuka di sepanjang bulan mulia ini.

Selama ini, kita mendengar majlis sebegini untuk rumah–rumah anak yatim sahaja, apa kurangnya jika kita turut sama bersedekah pada bulan mulia ini dengan menjadikan sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai salah satu contoh lokasi ibadah selepas ini.

Tukarkan kempen ‘promosi’ dan early bird kepada kempen ‘Ganjaran Ramadan’ dengan menyediakan seluas mungkin ‘pusat pengumpulan pahala’ kepada syarikat dan gergasi korporat dalam menyediakan menu-menu dan juadah percuma di sepanjang bulan mulia ini.

Malah, pihak kerajaan boleh memurnikan lagi daya kempen dengan memberikan inisiatif pelepasan cukai kepada syarikat-syarikat ini dan mereka boleh merebutnya sebagai salah satu acara khidmat masyarakat tahunan.

Sempena dengan bulan mulia ini, kita mahu melihat agar usaha murni yang dilancarkan oleh Mujahid mendapat keberkatan dan tidak terperangkap dengan pembaziran seperti firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Israa’ ayat 26-27, yang bermaksud: “...dan janganlah kamu belanjakan harta kamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang membazir (boros) itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur (ingkar) kepada Tuhannya”.

Namun, jangan pula selepas Ramadan, ditinggalkan juga segala usaha yang dilaksanakan. Ibarat menjaring angin, akan sia-sia segala usaha dan kempen pada bulan mulia ini.

* Penulis ialah bekas wartawan dan kini sebagai pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!