'Saya akan kembali' - Zii Jia

Zii Jia. - Foto Agensi
Zii Jia. - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN badminton utama negara, Lee Zii Jia bagai hilang kata-kata setelah tersingkir awal dalam kejohanan Terbuka Korea di Yeosu pada Rabu.

Pemain nombor 17 dunia itu ditunjukkan jalan keluar setelah tewas kepada Ng Ka Long dari Hong Kong pada pusingan pertama dalam aksi yang berlangsung di Stadium Jinnam.

“Saya tidak ada apa-apa untuk diperkatakan. Saya cuba yang terbaik (tetapi tidak menjadi),” katanya.

Kekalahan tersebut merupakan kali keempat berturut-turut Zii Jia kepada pemain ranking ke-14 dunia itu yang dibimbing bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann.

Bagaimanapun Zii Jia yang dilatih Wong Tat Meng sejak awal bulan ini enggan patah semangat sebaliknya tekad bangkit pada kejohanan akan datang.

“Saya akan kembali,” katanya.

Dalam aksi itu, Ka Long yang merupakan bekas anak didik Tat Meng mengungguli set pertama 21-15, namun Zii Jia enggan mengalah bangkit menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-18.

Set penentuan mereka saling bertukar mata, namun Ka Long lebih unggul untuk kemenangan 21-17 dalam tempoh 56 minit permainan.

Ia merupakan kekalahan pusingan awal kelima berturut-turut pemain berusia 25 tahun itu.

Nasib tidak menyebelahi Zii Jia apabila tewas pada aksi pertama dalam Kejohanan Asia, Masters Malaysia, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu perlu bangkit pada Terbuka Jepun minggu depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tze Yong ubat duka Zii Jia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!