Lelaki disyaki terlibat sindiket seludup sisik tenggiling ditahan
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki yang diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa serta menyogok penguat kuasa, ditahan Selasa lepas.
Menurut sumber SPRM lelaki berumur 43 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM di sini pada kira-kira jam 6 petang dan kini direman empat hari bermula Rabu selepas Majistret Nor Syakirah Che Hashim membenarkan permohonan reman itu di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Penahanan lelaki terbabit disahkan Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin yang dihubungi hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Media sebelum ini melaporkan SPRM berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa yang dipercayai turut menyogok penguat kuasa serta terbabit aktiviti pengubahan wang haram, dalam serbuan di Klang, Selangor dan ibu kota pada 14 Julai lepas.
Menerusi serbuan di Klang, suruhanjaya itu merampas hampir dua tan sisik haiwan itu yang bernilai kira-kira RM23.4 juta, manakala di Kuala Lumpur pula rampasan membabitkan beberapa kenderaan mewah yang mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut.
Setakat 17 Julai lepas, SPRM menahan lapan individu dipercayai terlibat sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa yang dipercayai turut menyogok penguat kuasa serta terbabit aktiviti pengubahan wang haram. - Bernama
.................................................................................................................................................................................................................................................................................................
Kastam beri kerjasama kepada SPRM
KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) beri kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan dua penguatkuasanya yang ditahan dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa.
Difahamkan, dua individu ini ditahan menerusi Op Jaguar oleh SPRM.
Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata, siasatan sedang dijalankan dan pihaknya sedang menunggu perkembangan mengenainya.
"Kita akan tunggu dan lihat apa hasilnya namun daripada pihak JKDM, kita akan berikan kerjasama sepenuhnya," katanya pada sidang akhbar kes rampasan rokok dan arak seludup di Wisma Kastam Pulau Indah pada Khamis.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan SPRM mengenal pasti pegawai penguat kuasa yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling.
Sebelum itu, SPRM telah menahan lapan individu untuk siasatan kes terbabit.
Sabtu lalu, media melaporkan SPRM merampas hampir dua tan sisik haiwan tenggiling bernilai kira-kira RM23.4 juta selain tangkapan individu berkaitan kes sogokan, menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.
ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket seludup sisik tenggiling RM23.4 juta tumpas
Sindiket seludup tenggiling: SPRM buru Sheikh Biman bantu siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!