83,152 saman dikeluarkan Polis KL
KUALA LUMPUR - Sebanyak 83,152 saman melibatkan pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam Ops Hormat Undang-undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur sejak 3 Julai hingga Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, daripada jumlah itu, halangan lalu lintas mencatatkan kesalahan tertinggi sebanyak 65,924.
"Kesalahan kenderaan di laluan pejalan kaki (3,655) dan tiada lesen memandu warga tempatan (3,082)," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Sarifudin berkata, pihaknya turut menyita 160 kenderaan, di mana 153 daripadanya adalah motosikal, enam kereta dan sebuah lori.
"Pengguna jalan raya dinasihatkan tidak mengabaikan tanda lalu lintas demi keselamatan semua pihaknya," katanya.
Pada 27 Jun lalu, media melaporkan Polis Kuala Lumpur melaksanakan Ops Hormat Undang-Undang Jalan Raya di ibu kota pada bulan ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, objektif operasi bersepadu itu adalah pihak berkuasa mahu mendisiplinkan pengguna jalan raya.
Mohd Shuhaily berkata, konsep operasi yang lebih tegas dan tersusun untuk menghalang pelbagai jenis pelanggaran trafik yang telah dilakukan oleh pengguna jalan raya.
Antara tujuh operasi yang dilaksanakan adalah operasi parkir haram, halangan, lampu merah (berhenti melebihi garisan putih/ berhenti atas lintasan pejalan kaki.
Polis Kuala Lumpur melaksanakan operasi terhadap nombor plat pendaftaran kenderaan, cermin gelap, motosikal dan Op Didik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!