KKM bimbang penjualan air minuman guna akuarium

Lukanisman - Foto Bernama. Gambar kecil: Penjualan air dalam balang akuarium tular di media sosial dan mendapat reaksi daripada pelbagai pihak.
Lukanisman - Foto Bernama. Gambar kecil: Penjualan air dalam balang akuarium tular di media sosial dan mendapat reaksi daripada pelbagai pihak.
A
A
A

SARIKEI - Kementerian Kesihatan (KKM) melahirkan kebimbangan terhadap tindakan sebilangan penjaja air balang yang menggunakan akuarium ikan untuk menjual minuman.

Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni berkata, pihaknya akan merujuk kepada bahagian atau unit yang bertanggungjawab di kementerian itu untuk tindakan.

"Kita bimbang penggunaan akuarium mungkin menjejaskan atau mencemarkan kualiti kualiti air tersebut dan kita akan teliti perkara ini,” katanya kepada pemberita semasa melawat Hospital Sarikei di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut yang tular di media sosial pada Rabu.

Lukanisman percaya tindakan penjaja air balang itu adalah untuk menarik perhatian orang ramai.

"Tetapi kita mesti lihat kualiti bahan atau balang yang digunakan. Seperti yang di dalam Twitter ini, ia adalah sebuah akuariaum yang kebiasaannya untuk kegunaan memelihara ikan,” katanya sambil menambah KKM akan melihat perkara tersebut dari sudut keselamatan dan kualiti makanan.

Sebuah akaun Twitter menggunakan nama "Jabatan Netizen Malaysia” dalam satu ciapan menyatakan perbuatan menjual air minuman menggunakan akuarium dan pam akuarium adalah salah, selain menegaskan silikon bukan bergred makanan digunakan untuk melekatkan kaca akuarium itu.

Ia menambah mereka yang ingin berniaga makanan wajib menyertai kursus mengendali makanan dan mereka akan diajar apa yang boleh atau tidak dilakukan dalam perniagaan makanan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!