Kes rayuan enam individu bunuh Kevin Morais 7 November ini
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 7 November ini untuk mendengar rayuan enam lelaki yang dihukum mati selepas disabitkan dengan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, tujuh tahun lalu.
Jasmine Cheong, seorang daripada peguam yang mewakili bekas pakar patoloji, Kolonel Dr R Kunaseegaran serta Kitson Foong, mewakili S Ravi Chandaran, mengesahkan tarikh pendengaran rayuan tersebut.
Tarikh tersebut ditetapkan semasa pengurusan kes pada Khamis di hadapan Timbalan Pendaftar, Mahkamah Rayuan, Mohd Khairi Haron.
Sementara itu, Foong berkata, mahkamah turut memberi arahan kepada pihak pembelaan dan pendakwaan untuk memfailkan hujahan masing-masing selewat-lewatnya pada 9 Oktober dan hujahan jawapan selewat-lewatnya pada 23 Oktober ini.
Beliau berkata. mahkamah juga menetapkan satu lagi pengurusan kes pada 26 Oktober ini.
Pada 10 Julai 2020, Kunaseegaran, 59, pemberi pinjaman wang S Ravi Chandaran, 51, dan empat penganggur R Dinishwaran, 30, A K Thinesh Kumar, 29, M Vishwanath, 32, serta S Nimalan, 29, dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mereka didapati bersalah membunuh Morais.
Mereka didakwa membunuh Morais, 55, di satu lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 September 2015. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!