Zamsaham akan ambil tindakan undang-undang

Norizam (kiri) dan Siti Zurina (tengah) ketika sidang media pada Khamis.
Norizam (kiri) dan Siti Zurina (tengah) ketika sidang media pada Khamis.
A
A
A

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang telah melemparkan fitnah kepadanya.

Menurutnya, tindakan fitnah dengan tohmahan dan fakta yang tidak berasas itu merupakan cubaan untuk menjatuhkan dirinya dan kelab bola sepak Kelantan.

“Semasa sidang media tersebut (semalam), pihak kami dapati banyak dan pelbagai tohmahan, fakta-fakta yang tidak benar dan tidak berasas, fakta yang dengan sengaja diselindungkan. Kesemua ini adalah fitnah dan penyelewengan fakta yang disengajakan.

“Pihak syarikat kini, sedang mengambil tindakan saman fitnah ke atas tuduhan yang disampaikan melalui sidang media, semalam,” katanya dalam sidang media pada Khamis.

Sebelum ini, seorang usahawan didakwa memperdaya orang ramai melabur dalam pra tawaran permulaan saham (pra-IPO) untuk syarikatnya yang dikatakan akan disenarai di Bursa Malaysia.

Tujuh individu yang melabur di syarikat milik usahawan itu mendakwa diperdaya membabitkan kerugian mencecah RM900,000 apabila tiada pulangan pelaburan dan dividen diberikan sejak dua tahun lalu.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili Norizam, Siti Zurina Sabarudin berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan pihak terbabit yang menyerang tanpa fakta dan tidak profesional.

“Saya mewakili anak guam saya akan mengambil tindakan undang undang mengikut lunas perundangan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!