Harimau Malaya ada pilihan ke Mesir atau China, September ini
SKUAD Harimau Malaya berpeluang menguji kekuatan berdepan juara tujuh kali Piala Negara-Negara Afrika, Mesir, pada jendela aksi perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), September ini.
Peluang itu menyaksikan anak buah Kim Pan Gon bakal menimba pengalaman berharga apabila beraksi menentang pasukan dalam kelompok 35 terbaik dunia yang diketuai bintang sensasi kelab Liverpool, Mohamed Salah.
Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 bertemu Mesir di negara itu adalah antara pilihan selain bertandang ke China bagi perlawanan berstatus sama.
Beliau berkata, mustahil untuk skuad kebangsaan menentang kedua-dua negara itu pada September disebabkan faktor perjalanan yang jauh sekali gus perlu mencari pasukan lain yang sedia bermain di Mesir ataupun China.
"FAM ada berhubung dengan China dan Mesir, kedua-dua positif untuk berlawan dengan Harimau Malaya tetapi perkara ini masih dalam peringkat perbincangan dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya pada Khamis."Jika berlawan dengan Mesir kita tidak ke China (begitu juga sebaliknya). Kalau nak lawan China kena cari satu pasukan lain (yang berdekatan), kalau nak lawan Mesir pun perlu cari juga pasukan lain di situ.
Berdasarkan ranking dunia, Mesir yang beraksi pada Piala Dunia 2018 berada di posisi ke-34 sementara China dan Malaysia masing-masing di kedudukan ke-79 dan ke-137.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan China menjadi lawan skuad Harimau Malaya pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA dari 4 sehingga 12 September ini.
Dua aksi persahabatan antarabangsa September ini penting buat skuad kebangsaan dalam persediaan menghadapi Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam jendela perlawanan antarabangsa FIFA terdahulu.
Malaysia mengatasi Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0 masing-masing di Johor pada Mac sebelum menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 dan Papua New Guinea 10-0 masing-masing di Terengganu, bulan lepas.
Skuad bimbingan Pan Gon turut dijadual berentap bersama tiga negara iaitu Palestin, Lubnan dan India pada Pestabola Merdeka di sini pada Oktober ini sebelum mengharungi kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!